Berita

1MDB hina parlimen

KUALA LUMPUR, 26 MEI: Keengganan pentadbiran 1MDB disiasat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) adalah penghinaan kepada parlimen kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

“Setelah lima tahun 1MDB dihantui krisis kecuaian, tiada ketelusan dalam tadbir urus syarikat korporat kerajaan, sepatutnya 1MDB rela hati bertemu PAC.

“Keengganan bertemu PAC yang dijadualkan hari ini menunjukkan mereka cuba sembunyikan sesuatu.

“Ini adalah penghinaan kepada parlimen,” kata Kit Siang.

1MDB dalam kenyataannya semalam menjelaskan tarikh yang ditetapkan untuk memberi keterangan di PAC itu bertembung dengan satu temujanji di luar negara.

“Saya fikir, kita harus tanya di mana Arul sekarang dan apa dia sedang buat sekarang.

“Persoalan yang harus dibangkitkan PAC pada waktu ini,” jelas Kit Siang kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Sementara itu Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng mencadangkan PAC menggunakan peruntukan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 dan mendenda kedua-dua individu RM1,000 setiap hari, selagi gagal hadir ke siasatan jawatankuasa.

Malah melalui peruntukan tersebut, Arul Kanda dan Shahrol Halmi boleh ditangkap.

“Kita hairan membaca laporan CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy ‘mengalu-alukan siasatan PAC ke atas 1MDB’.

“Bunyinya seolah-olah beliaulah yang akan menjemput Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam dengan membentang karpet merah ke pejabat 1MDB.

“Tetapi ini tidak pula berlaku. Adakah mereka ini dilindungi Perdana Menteri Najib Razak?

“Adakah itu sebabnya mereka begitu berani dan selepas beberapa bulan masih belum disiasat polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia? soal Lip Eng. – Roketkini.com