Berita

Takkan perlu kata dua untuk masalah parit tersumbat?

TELUK INTAN, 27 MEI: ADUN Pasir Bedamar Terence Naidu terpaksa memberi ‘kata dua’ kepada Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) hanya untuk membersihkan saluran parit tersumbat di daerah itu.

Ujarnya, ini kerana jawapan diterima pada sidang DUN berhubung isu penyelenggaraan perparitan, bercanggah dengan kenyataan MPTI.

Terence dimaklumkan oleh kerajaan negeri bahawa penyelenggaraan parit secara berjadual setiap bulan dilaksanakan kontraktor pembersihan awam MPTI.

0-menara-condong1Sebaliknya MPTI dalam jawapan kepada Terence hanya bertanggungjawab kepada penyelenggaraan longkang kecil, manakala parit dibawah penyelenggaraan Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS).

“Begitulah dua jawapan berbeza antara kerjaaan negeri Perak dan kerajaan tempatan terhadap isu yang dibangkitkan.

“Tidakkah kerajaan negeri Perak akan merujuk terlebih dahulu pada MPTI sebelum memberikan jawapan pada Mesyuarat di Dewan Undangan Negeri,” kata Terence dalam kenyataannya hari ini.

Kata Terence, isu parit yang tidak dibersihkan di Jalan Pasir Bedamar, berhampiran tokong Poh Leng Keong telah lama dibangkitkan penduduk kepada pihak bertanggungjawab.

“Parit tersebut tidak pernah dibersihkan sejak setahun lalu. Bagai angin lalu, perkara ini tidak pernah mendapat perhatian yang sewajarnya,” kata Terence.

(Lawat akaun Facebook Roketkini untuk gambar-gambar lain)

Sebelum ini, penduduk mengadu kepadanya bahawa parit yang tidak dibersihkan menyebabkan ia dipenuhi tumbuhan liar.

Manakala ketika hujan lebat kawasan sekitar dan beberapa buah rumah akan dinaiki banjir.

Kata Terence, sekiranya masalah tersebut tidak diselesaikan, beliau sendiri akan turun menjalankan sendiri kerja-kerja pembersihan. – Roketkini.com