Sastera

Mencari kulit buku yang cerdik

Untuk sekali ini, mari kita tinggalkan dulu seketika bincang-bincang tentang kualiti kandungan buku. Perbincangan kualiti kandungan buku sudah dan akan terus dibincangkan oleh banyak pihak. Orang muda atau bukan muda.

Untuk sekali ini, mari kita berborak santai tentang muka depan buku Malaysia. Secara santai tanpa perlu membuat rujukan atau rujukan silang, tanpa bersandar kepada mana-mana ahli akademik, atau cuba membawanya kepada konsep saintifik.

Buku adalah buku. Tapi kulit buku adalah sesuatu yang lain.

Biasanya mana-mana syarikat penerbitan yang waras akan seboleh mungkin menghasilkan kulit depan buku yang cantik. Tahap kecantikan hiasan muka depan akan menyumbang kepada laris atau tidaknya buku tersebut.

Tapi itulah, cantik itu subjektif. Poyo – bagi sesetengah orang – pun dianggap cantik.

(Menganggap poyo itu cantik sendiri adalah sebuah tragedi, sebenarnya).

Seperkara lagi, cantik itu akan lebih bermakna kalau cerdik. Cantik tak menjamin cerdik, sama dengan cerdik tak semestinya cantik. Tapi cerdik tapi kurang cantik jauh lebih berfaedah daripada sekadar cantik tapi tak cerdik.

Itu masalahnya.

Kembali kepada mauduk asal kita kali ini – kulit buku.

buku

Cantik itu akan lebih bermakna kalau cerdik. Cantik tak menjamin cerdik, sama dengan cerdik tak semestinya cantik.

Dewasa ini (ya, ayat ini sangat poyo) kita bertuah kerana ada beberapa syarikat penerbitan yang besar atau kurang besar memiliki kemampuan kreativiti menghasilkan kulit buku yang lawa. Dari segi “lawa” memang susah nak ditandingi. Kalau dari segi “lawa”-lah.

Dari segi cerdik? Itu cerita lain. Cerita tafsiran dan inisiatif lebih (sedikit saja) untuk dibentuk menjadi cantik dan cerdik.

Biar saya berikan contoh begini: Katakanlah buku yang nak diterbitkan itu berjudul Nasi Lemak 20 Sen. Ia berkisar tentang kisah konflik – misalnya – anak muda yang berangan-angan mahu menjadi ahli politik dan bertanding dalam pilihan raya di AS.

Bagaimanakah agaknya wajah kulit buku itu?

Untuk satu dua penerbit, saya boleh bayangkan kulit buku berkenaan akan menjadi begini:

* Akan ada sebungkus nasi lemak
* Akan ada gambar duit syiling 50 sen
* Latar belakang gambar pula ialah Rumah Putih
* Selebihnya ialah judul buku Nasi Lemak 20 Sen itulah.

Cantik, memang. Cerdik? Tidak.

Tidak bolehkah syarikat penerbitan itu (atau pereka letak yang ditugaskan penerbit) berusaha lebih sedikit untuk memahami apakah kisah yang dipaparkan dan kemudian – ini yang saya kata sedikit inisiatif – berfikir di luar kotak untuk menghasilkan wajah lebih cerdik?

Dan cubalah berseni sedikit. Biarkan kulit buku itu berfalsafah, berlapis makna dan – lebih penting – mampu merangsang sel dan saraf otak pengguna untuk berfikir.

Negara sudah cukup banyak pertandingan yang membonsaikan akal fikiran. Kita tak mahu industri buku yang sepatutnya mencerahkan, turut bersekutu menjadikan pembaca pemalas berfikir di luar kotak.

Nak marah, marahlah.