Rencana, Sastera

Said Zahari: Kian ditahan kian kuat

Hari ini ramai rakyat Malaysia dan Singapura mungkin terlupa, antara mereka masih ada seorang wira kurang didendang tetapi tetap tabah selepas teguh mempertahankan kebebasan akhbar, menggalakkan intelektualisme di kalangan orang Melayu, berprinsip dan berani dalam menjalankan tugas.

Tokoh itu adalah Said Zahari, wartawan kelahiran Singapura, yang meskipun kini bermastautin di Malaysia, namun perjuangannya demi kebebasan merentasi benua dan masa.

Pak Said – begitu dia lebih mesra dikenali – dalam satu babak hidupnya lebih dikenali sebagai pemimpin mogok Utusan Melayu pada 1961, sebaik menyedari akhbar itu dalam bahaya apabila cuba diletakkan di bawah telunjuk UMNO.

Lantas, beliau ditahan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), yang diriwayatkan hasil kong-kali-kong pemerintah Singapura dan Malaysia pada 2 Februari 1963 atas tuduhan menjadi anggota komunis yang aktif di Singapura.

Jeritan

Di suatu ketika kurasa dunia akan kiamat
Seluruh anggotaku seakan berkecai
Tipislah segala harapan
Musnah segala impian…

SZ7Pada era itu, tuduhan sebagai anggota, penyokong, pemberi dana komunis secara terbuka atau sulit, atau pun menulis secara kritikal – adalah tuduhan keramat pemerintah untuk memenjarakan ahli politik, aktivis selain mendiamkan wartawan.

Penahanan Pak Said selama 17 tahun itu direkodkan sebagai antara yang paling lama di dunia, selepas pemimpin Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) Nelson Mandela.

Kepada Pak Said, peranan media yang bebas adalah penting untuk membawa suara rakyat, mendorong keyakinan untuk berkata benar secara terbuka, berbahas mengenai isu-isu penting, yang dengan itu membolehkan pembaharuan politik dan ekonomi demi kemaslahatan ramai.

Dalam mana-mana wawancara , beliau sering kali mengingatkan bahawa matlamat asal ranah persuratkhabaran adalah demi membela nasib rakyat, menjadi perantara dan saluran untuk idea-idea mereka.

said_zahariKepada orang Melayu pada masa lalu, beliau berjasa besar. Melalui ketajaman lidah pengarangnya, editor itu ‘menimbulkan kemarahan’ kerajaan hanya kerana menulis kebenaran.

Kata-kata atau tulisan seperti yang dicoretkan Pak Said memberi bentuk kepada sesuatu yang masuk dan keluar dari diri pembacanya, dan kemudian menjadi jambatan menyeberang ke tempat lain.

Melalui penulisan seperti itu juga tanpa disedari, ia membangun persahabatan yang menggelisahkan pemerintah, sebaliknya kepada penguasa yang zalim itu, kata-kata digunakan untuk membungkam.

Kepada Pak Said yang dituduh ‘petualang’ itu, berdiam diri bermakna membiarkan orang baik-baik yang memperjuangkan hak diri dan lainnya – bersendirian.

Penulis yang lantang bersuara itu memang sengaja dipenjarakan oleh penguasa zalim – dengan niat memisahkan beliau daripada rakyat marhaen yang belum terbela.

Barangkali pada waktu itu, ketika pemerintah Malaysia dan Singapura baru sahaja mencapai kemerdekaan, maka percaturan kekuasaan mengabsahkan pemenjaraan ke atas Pak Said dan angkatannya.

Guru kepada banyak orang

Kumpulan The BangsART mendendangkan lagu 'anti-nasional', dari puisi karangan Said Zahari di majlis ulang tahunnya yang ke-87.

Kumpulan The BangsART mendendangkan lagu ‘anti-nasional’, dari puisi karangan Said Zahari di majlis ulang tahunnya yang ke-87.

Pertelingkahan politik yang terjadi, sebaliknya tulisan mereka yang lantang dianggap pengganggu yang perlu diganyang segera.

Ketika media zaman itu – yang baru sahaja usai perang dunia kedua lebih banyak mengulas tentang usaha pembangunan prasarana dan kemajuan ekonomi – sidang pengarang Utusan Melayu sudah memikirkan cara untuk memajukan pemikiran masyarakat.

Hari ini, perlu ramai orang muda seperti Pak Said yang berani menyatakan pendirian, sabar dengan cabaran dan terus mempertahankan haknya sendiri dan sesama manusia tanpa mencicirkan prinsip.

Tetapi demikianlah kebangkitan
Tiba-tiba telingaku mendengar ombak suara
Jerita semakin keras semakin nyaring
Ombak suara rakyat jelata…

said_zahari_syed_husinPak Said, guru kepada orang banyak ini meraikan ulang tahunnya yang ke-87 pada 18 Mei lalu, di kediamannya di Puncak Alam, Selangor bersama keluarga, sahabat, rakan setahanan pelbagai generasi dari Singapura dan Malaysia.

Antaranya Dr Syed Husin Ali, Hishamuddin Rais dan rakan-rakan dari Singapura yang turut menjadi mangsa Operation Cold Store, Dr Poh Soo Kai, Teoh Soh Lung, Soo Lan, Swee Poh Tan selain anak-anak muda Kelab Bangsar Utama.

Meskipun kelihatan agak uzur dan pergerakan terbatas dengan hanya berkerusi roda, namun wajahnya selalu mengukir senyuman.

Syed Husin dalam ucapannya pada majlis ulang tahun itu berkata, Pak Said selalu tersenyum dan ketawa menyebabkan gayanya seolah-olah tidak pernah serius.

“Bila dia ditangkap, kami bertaruh berapa lama Said bertahan di dalam. Saya letak seminggu sahaja memandangkan gayanya yang tak pernah serius dan (dijangka) mengalah awal.

SAIDZAHARI_BookCover02“Tapi rupa-rupanya bukan satu minggu, tapi 17 tahun dia kena (penjara). Selepas keluar, nampakmya dia lebih kuat berbanding orang lain ,” kata Dr Syed Husin, juga bekas tahanan ISA yang selalu menganggap Pak Said seperti abangnya sendiri.

Dr Rahman Embong, ahli akademik yang juga pengelola trilogi akhir memoir Pak Said turut mengumumkan bahawa buku yang belum dinamakan itu akan diterbitkan pada Ogos 2015.

Melalui pelbagai ulasan sebelum ini, Pak Said dalam memoirnya ‘Meniti Lautan Gelora’ dan ‘Dalam Ribuan Mimpi Gelisah’ dikatakan mencetuskan kebenaran yang tidak menyelesakan, namun tokoh wartawan itu sentiasa meraikan pendapat berseberangan.

Korbankan diri

Apa pun, niat dan tegurannya tidak lain, hanya mahu melihat negara, pemimpin dan bangsanya tidak terjerumus ke dalam perangkap kemajuan melulu yang dicipta sendiri.

Seharusnya negara kita mampu memiliki sebuah pentadbiran yang telus, bertanggungjawab, dalam keadaan kerajaan tidak boleh melakukan sesuka hati, dengan adanya orang seperti Pak Said.

Beliau ibarat sebuah institusi, bahkan sebenarnya pembuka jalan dan bahan rujuk buat generasi penulis, pengamal media dan wartawan hari ini.

Ketika sebahagian kita gusar menulis akibat belenggu Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi dan lainnya, Said Zahari lebih dahulu mengorbankan diri, menjadi guru, melakar lukisan kebebasan dan mendobrak bingkai lama ketakutan.

Melalui cara seperti Said Zahari, tulisan dan kata-kata selalu memperbaharui diri pembaca. Melalui tulisan dan kata-kata sepertinya ia menjadi senjata berbahaya.

Kita perlu seribu lagi Said Zahari.

Bukan kiamat yang akan tiba
Itulah api perjuangan kian menyala
Menjilat segala kejahatan penindasan
Jeritan yang memberiku sejuta tenaga
Semangat baru di jiwaku
Dari suara Rakyat tercinta