Rencana, Sastera

Rugged mengumpat Pyan

 

Jpeg

(Sebahagian gambar ihsan Nur Khanim Khairuddin)

Barangkali sambutan ulang tahun kelahiran Pyanhabib di White Box, Publika pada 27 Mei lalu adalah paling meriah untuknya.

Pyanhabib adalah susuk yang dikenal ramai sebagai seniman dengan karektor tersendiri. Biasanya santai dan kadang-kadang, gila-gila. Dia juga diingat sebagai Osman Tikus – watak yang hidup dalam filem Kembara Seniman Jalanan.

Pada malam itu, 31 seniman sudah bersedia dengan karya masing-masing untuk dimuatkan dalam buku Melukis Puisi – Sebuah Pencitraan Puisi-puisi Pyanhabib yang diterbitkan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM).

rahmat-haron

Rahmat mendeklamasi sajak dengan selamba

Pelancaran buku itu memang berbeza. Berdasarkan penampilan poster majlis itu pun sudah boleh dijangkakan ia seperti Pyanhabib juga – rugged.

Artis yang diundang membuat persembahan dan ucaptama bagi pelancaran pula adalah buskers Nik Jidan, penyair Rahmat Haron (bukan Rahmat Hussein!), pembuat filem indie Awang Ketut dan pelakon popular yang sangat in character, Hasnol Rahmat.

Tengok – pemilihan karyawan pun sudah menggambarkan ribut dan gila-gila si Osman Tikus. Rasanya, kuota persembahan pentas seratus peratus dipilih Pyanhabib sendiri.

Nisbah majoriti “kaki lawan” yang dipelawa naik ke pentas pun sudah boleh menggambarkan bahawa konsep rugged dan lantang yang kena langsung dengan Pyanhabib, dikristalkan melalui karyawan-karyawan tadi.

(Klik di sini untuk gambar-gambar lain)

Anehnya, ada sesi open mic seperti sudut pidato di laman galeri, dan sesiapa pun boleh bercakap. Ini jarang-jarang dibuat orang.

mnasir-pyan-hasnul

Pyanhabib bersama Datuk M Nasir (kiri) dan Hasnul

Mungkin penganjur mahu memberi peluang kepada hadirin untuk merakam apresiasi kepada pelukis catan dan penggubah arca. Atau mungkin memberi peluang kepada tetamu untuk mengumpat Pyanhabib secara terbuka.

Di lantai pentas, berlegar ke hulu ke hilir, ramai mat hipster dan minah stylo apabila masing-masing kelihatan melaram – sama ada dengan kamera DSLR atau go-pro. Kita pun tak dapat lagi mengenal pasti yang mana satu pengunjung pelancaran, dan yang mana satu antara 31 karyawan yang terlibat sama dalam penerbitan buku.

rara-pyanhabib

Rara juga tak ketinggalan memberikan sokongan

Hanya kita boleh tahu mereka ini apabila media dari pelbagai stesen TV dan portal berita membuat temu ramah.

Tersangkut tak dapat beredar

Berbanding ramai rakan-rakan seangkatan Pyanhabib yang kebanyakannya sudah pun bergelar Datuk dan Tan Sri, pada masa sama ada juga yang perasan menjadi Datuk dan Tan Sri. Hakikatnya rata-rata hadir pada malam itu adalah kutu-kutu belaka.

Semuanya saksama. Dari Sasterawan Negara, bekas tahanan ISA, anak muda, lelaki – perempuan berbaris untuk mengambil kudapan yang dihidangkan. Tak ada ruang makan VVIP dan tak ada meja berenda-renda. Ringkas dan rugged.

Di luar hujan renyai-renyai. Hadirin yang berseluar denim, berkasut kanvas, bermotosikal dan tersangkut tak dapat beredar.

Jpeg

Sebahagian daripada tetamu yang memeriahkan majlis

Bagi yang lewat tiba, mereka berkampung di depan laluan utama galeri. Kopi dan kek yang dihidang laris. Asap rokok berkepul-kepul naik sebelum ditelan udara.

Pyanhabib sudah tentu paling sibuk. Terjerit-jerit memanggil bermacam-macam nama. Ke sana, ke mari. Apabila ada individu ditemui, dipanggil dan dijabat tangannya. Kemudian diperkenalkan kepada penganjur – atau penganjur pula diperkenalkan kepada rakannya. Semuanya ingin beliau raikan.

Sepanjang pelancaran, suhunya bertukar-tukar. Pada bahagian permulaan, betul-betul nampak rasmi. Ketika sudah pengap, kutu-kutu mengambilalih pentas utama dan dihidupkan semula dengan muzik.

Jpeg

Nik Jidan (kanan) bersama Man Jelita

Anak-anak kecil. sampai kepada golongan ‘emak-emak’ pun berjoget sama, diringi lagu penutup Terima Kasih Pyanhabib. Semua orang nampak gembira, bertepuk tangan dan menyanyi beramai-ramai.

Oh ya! Tadi itu kisahnya pelancaran buku ITBM. Jangan kita lupa 31 artis kontemporari yang mencitrakan semula puisi terpilih daripada buku Balada Pyanhabib.

Tak sempat tanya

Kepada mereka yang mahu memahami bagaimana puisi dilukis atau persembahan visual yang diinspirasi daripada kata-kata, mahu pun arca yang dibentuk dari penulisan, pameran ini masih boleh dinikmati ramai sehingga 3 Jun.

Kepada HOM Art Trans, pengelola acara Melukis Puisi: Sebuah Pencitraan Puisi-Puisi Pyanhabib, ITBM, berserta 31 karyawan undangan, sekalung tahniah diucapkan.

Sesungguhnya, menuangkan makna puisi ke dalam bentuk lain sudah tentu bukan sesuatu hal mudah. Usaha rentas bidang adalah jambatan baru yang sangat dialu-alukan, memberi ruang kepada karyawan muda untuk mencipta – seperti mana semangat muda yang selalu ingin mencuba.

Kepada abang Pyan, selamat ulang tahun diucapkan. Gua tak sempat tanya berapa umur lu! – Roketkini.com