Berita, Isu Semasa

Nyaris tutup kedai kerana GST

Oleh: Zahid M. Naser (Gambar: Ahmad Yusufi)

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Sejak lebih setengah abad, kedai roti Southern Bakery itu membuka perniagaan di Jalan Pasar, Pudu dan mendapat sambutan ramai.

SUFI4365

Han Jee Nee, 54, menceritakan perihal perniagaannya

Lokasi kedai itu ialah satu pintu daripada deretan bangunan batu dua tingkat tidak jauh dari kawasan pasar  borong Pudu. Di  situ pemiliknya berniaga sejak 1961.

Namun baru-baru ini mereka terpaksa mengalah.

Tarikh 1 April menjadi detik penting kepada pasangan Han Jee Nee, 57, dan suaminya Law Hong  Cheng, 62.

Mereka terpaksa mengalah dan menutup perniagaan di situ untuk mencari tempat yang lebih mampu.  Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) telah mengorbankan perniagaan syarikat  Southern Bakery.

Terkenal sebagai pengeluar ‘roti spring’, kini perniagaan itu diwarisi oleh Jee Nee – generasi kedua daripada keluarga itu.

Sewa mahal

Jun Xiong, 18, sentiasa berada di kedai sebelum pergi ke kolej

Sedikit beremosi ketika ditanya mengenai kenapa mereka memindahkan perniagaan, anak lelaki Jee Nee, Jun Xiong, 18, berkata kedai itu terpaksa dipindahkan sebagai jalan terakhir untuk mengekalkan perniagaan mereka.

“Dulu di tempat lama, sewa RM20,000 sebulan. Kami kedai kecil saja, bukan kedai besar. Sewa macam itu, bagaimana nak untung dan bagi makan pakai anak-anak?

“Sini, okey sikit, sewa cuma RM6,000 saja. Jadi okeylah sikit, Tapi, ada sikit sedih, sebab kedai itu banyak kenangan,” ujarnya.

Tidak seperti perniagaan di Jalan Pasar, kini mereka menghadapi kekurangan pelanggan kerana lokasi yang tidak strategik dan bertentangan dengan jalan utama yang sibuk.

GST ini kena juga pada kami

Menurut Jee Nee, kos hidup seharian peniaga roti kecil seperti beliau sangat dirasakan akibat GST.

SUFI4390 “Memanglah tepung tak kena GST, tapi barang lain ada yang kena. Kami rasa sendiri kenaikan harga.

“Kalau pergi pasar sekarang RM50 boleh dapat apa?” soalnya sedikit sebak.

Disebabkan itu, Jee Nee berkata, harga jualan rotinya terpaksa dinaikkan antara 10 sen hingga 20 sen.

“Kami kedai kecil saja, untung pun tak banyak, hanya cukup-cukup makan saja. Betul-betul paras hidung,”  ujarnya.

Namun, ketika ditemuramah, beliau bersikap optimistik dengan perniagaannya dan sangat berharap dengan perniagaannya itu terus hidup walau terpaksa menghadapi dugaan ekonomi yang terus meruncing. – Roketkini.com