Berita

Apa syarat pinjaman AS$1 bilion kepada 1MDB?

PETALING JAYA, 30 MEI: Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah perlu menjelaskan syarat pinjaman AS$ 1 bilion oleh International Petroleum Investment Company (IPIC) dan anak syarikatnya Aabar Investments (Aabar) kepada 1MDB.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata, syarat tersebut perlu didedahkan kerana dibimbangi mengorbankan lebih banyak dana rakyat pada masa akan datang.

Ujarnya, ini bukan kali pertama IPIC menjadi ‘penyelamat’ 1MDB.

Pada 2012 ketika mengumpul dana bagi pengambilalihan pengeluar tenaga bebas (IPP) Tanjong Power dan Genting Sanyen, 1MDB meminta IPIC menjadi penjamin bagi meningkatkan dana melalui 2 terbitan bon, masing-masing bernilai AS$ 1.75 bilion.

“Jaminan masih diperlukan meskipun harga bon 1MDB begitu menarik, sekitar 5.99% kadar kupon,” kata Tony.

Namun katanya, jaminan diberikan IPIC kali ini bukan ‘isyarat mesra’, dan tidak datang percuma sebaliknya perlu dibayar dengan harga-harga tertentu.

“Syarat-syarat luar biasa yang dilampirkan memberikan kesan besar terhadap kadar faedah hutang dan aliran tunai 1MDB,” ujarnya.

Beliau berkata, 1MDB akan meletakkan sekurang-kurangnya 40% pinjaman kepada IPIC sebagai deposit keselamatan, yang mana dianggarkan, berjumlah RM4.47 bilion seperti didedahkan dalam laporan kewangan syarikat sarat hutang itu pada Mac 2014.

“Ini bermakna, 1MDB membayar 5.99% kadar faedah pada kadar hutang AS$3.5 bilion walaupun mempunyai akses kepada hanya 60% dana, atau bernilai AS2.1 bilion.

“Keduanya, 1MDB perlu menawarkan pilihan kepada Aabar untuk memiliki sehingga 49% pegangan ekuiti dalam Powertek Investment Holdings (PIH) dan 1MDB Energy (Langat) yang mana bagi mendapatkan jaminan.

“Berdasarkan penyata kewangan terkini, 1MDB mendedahkan, anak syarikatnya, 1MDB Energy Holdings Limited mengambil hutang pada AS$250 pada Mei 2014 untuk membeli kembali apa yang ditawarkan kepada Aabar,” kata Tony.

“Malah, sejumlah AS%250 juta (atau lebih)  ini mewakili bayaran kepada IPIC bagi mendapatkan jaminan korporat untuk anak syarikat 1MDB bagi meningkatkan AS$3.5 bilion, atau sekurang-kurangnya 7.1% daripada dana yang dikeluarkan”, ujarnya. – Roketkini.com