Rencana

Bola sepak sudah mati, mentaliti kelas B dan tentang ‘A’

Apabila Sepp Blatter dipilih semula sebagai Presiden FIFA, tidak sedikit reaksi yang timbul sekitarnya. Antaranya daripada Luis Figo, bekas bintang Portugal dan Real Madrid yang lewat Twitter mendakwa “bola sepak sudah kalah, kita sudah kalah.”

Ada juga yang lebih jauh berkata: “Bola sepak sudah mati.”

Respon ini boleh kita fahami sebagai protes terhadap Blatter yang terpalit dengan skandal rasuah sepanjang tempoh memimpin FIFA.

Agaknya seperti kita di Malaysia yang sudah bosan dengan pucuk pimpinan FAM yang tidak bertukar-tukar, komuniti bola sepak antarabangsa juga mempunyai sikap yang sama terhadap FIFA.

Netherlands Soccer Champions League

Wenger mengemudi Arsenal menjuarai Piala FA, lagi.

Sebab itulah apabila sesi pemilihan FIFA berakhir pada 29 Mei lalu, dunia bola sepak berkocak seketika. Sekurang-kurangnya dalam skala  “rebut dalam cawan teh.”

Para wartawan sukan, pengulas barangkali mempunyai kebimbangan yang lebih besar terhadap masa depan bola sepak berbanding para kuasawan seperti Blatter dan rakan-rakannya.

Namun, untuk mengatakan bahawa “bola sepak sudah mati” itu masih terlalu jauh. Ketahuilah, kita masih ada Arsenal yang mengekalkan kejuaraan Piala FA Inggeris pada 30 Mei lalu.

Kemenangan pasukan seperti Arsenal telah menyelamatkan bola sepak, sekali gus membuktikan bahawa bola sepak masih bernyawa, falsafah dan semangat bola sepak sebagai sejenis sukan masih segar.

Pasukan yang bermain bola sepak cantik masih boleh merangkul kejuaraan tanpa ditenggelamkan pasukan yang hanya memburu kemenangan (glory hunters) sehingga mengabaikan keindahan dan keseronokan seni bola sepak di atas padang.

Pengurus bas depan gol

Apabila  Arsenal menang Piala FA menewaskan Aston Villa 4-0, ia membuktikan hakikat di atas. Kemenangan Arsenal bukan saja disambut penyokongnya, malah oleh ramai yang lain.

Hakikat ini dapat difahami kerana Arsenal mungkin antara beberapa pasukan yang masih degil mahu mengekalkan falsafah bola sepak sebenar dan tidak terpesona dengan pendekatan negatif “hanya-untuk-menang” seperti “meletak bas di depan pintu gol” selepas Berjaya menghasilkan cuma satu jaringan.

Buktinya, Olivier Giroud masih bernafsu menjaringkan gol cantik pada masa tambahan walaupun tahu pasukannya sudah tiga gol di depan dan kejuaraan ada di depan mata.

Mentaliti sebegini sudah tentu jauh berbeza dengan pasukan seperti – katakanlah Chelsea – yang tewas kepada pasukan pertengahan liga, West Brom 0-3 hanya kerana mengetahui kejuaraan Liga Perdana sudah berada dalam genggaman.

Wartawan sukan Telegraph berwibawa seperti Henry Winter bahkan menyifatkan permainan pasukan kendalian Arsene Wenger itu sebagai fantasy football yang membuatkan dunia bola sepak mampu kembali tersenyum.

glory3

Blatter dipalit teruk dengan skandal rasuah tapi masih menang, lagi.

Kemenangan Arsenal sehari selepas kemenangan kontroversi Blatter muncul seperti satu paradox – kemenangan sebenar vs kemenangan palsu. Santi Cazorla,  Alexis Sanchez, Mesut Ozil menunjukkan kepada kita cara sebenar bermain bola; dengan gaya gelecekan licik kelas tinggi, hantaran-hantaran mempesona – jauh mengatasi corak negatif bertahan yang antibola sepak.

Bermain cantik dan berseni hampir-hampir sudah jadi tanggungjawab baru Arsenal kepada dunia bola sepak moden ketika pasukan lain sudah makin dibutakan oleh buruan kemenangan palsu.

Ada satu laman sukan yang memetik secara jenaka betapa tahun ini para pemenang liga di Eropah rata-rata bermula dengan alfabet “B” untuk Barcelona, Bayern Munich, Benfica dan “Bus”(Chelsea).

Menariknya, “B” jugalah yang menang di FIFA dalam susuk Blatter. Tanpa mahu menafikan kelas tersendiri juara La Liga, Bundesliga, Liga Portugis dan lain-lain (kecuali Liga Perdana Inggeris,) kita barangkali sudah muak dengan mentaliti kelas B ini dan tiba masanya beralih kepada mentaliti kelas A – seperti yang ditunjukkan Arsenal.

Dan kita mengharapkan musim depan adalah musim yang lebih cemerlang untuk bola sepak. Bola sepak yang sebenar. – Roketkini.com