Rencana

Memaksakan iman Subky ke Kit Siang

Nakal sekali tulisan propagandis veteran PAS, Tuan Haji Subky Latif mengulas ziarah mahabbah rombongan DAP yang diketuai Lim Kit Siang ke Timur Tengah baru-baru ini.

Sampai sahaja ke perenggan dua, saya mula geleng kepala. Rupanya tulisan propaganda tidaklah jenuh sangat pembikinannya. Cuma sekadar putar-putar ayat dan selitkan mesej yang mahu disampaikan kepada pembaca.

Andaian dalam tulisan Subky bertajuk ‘DAP kata hudud hanya politik, bukan agama’ yang disiarkan Harakahdaily hari ini perlu dibetulkan, kerana andaian tersebut bukan sahaja tidak tepat, malah dibuat secara menonong.

Perenggan pertama Subky mengandaikan bahawa rombongan DAP berziarah ke Timur Tengah, spesifiknya ke Jordan dan kemudiannya Mesir, bagi ‘meninjau politik hudud’. Seterusnya beliau merumuskan pula bahawa kononnya hasil daripada tinjauan tersebut, DAP mendapati bahawa hudud PAS bukan tuntutan agama, bahkan hanya tuntutan politik.

Saya tidak pasti dari mana Subky menemukan kesimpulan tersebut. Atau barangkali kesimpulan yang beliau temukan itu disalah fahami.

Dan salah faham beliau itu pula cuba diterapkan pula kepada pembacanya. Aduhai, malang sekali.

Seharusnya setakat hari ini Subky sudah boleh mengerti apa yang dimaksudkan dengan hudud PAS itu disebut DAP sebagai persoalan politik dan bukan sekadar agama.

Terutamanya setelah dua kali rang undang-undang persendirian Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang tidak menemukan cahaya mentari sejak dikemukakan pada dua sidang Parlimen lalu.

Sepatutnya Subky telah jelas bahawa permainan tarik tali Umno-PAS dalam soal hudud inilah yang dimaksudkan DAP sebagai hal politik dan bukan agama. Sepatutnya juga hal itulah yang menjadi asas mesej PAS hari ini dalam berusaha memperkukuh Pakatan Rakyat menjelang muktamarnya yang penuh kontroversi.

Namun Subky tidak memilih untuk menegur penentangan Umno, tetapi menghalakan muncung senjatanya ke arah usaha DAP untuk menemukan kebenaran dalam hal pelaksanaan hudud di daerah lahirnya hukum itu.

Pucuk dicita ulam mendatang

Apa yang ditemukan DAP dalam ziarah ke Jordan dan Mesir adalah lebih dari sekadar hujahan praktikaliti hudud. Rombongan tersebut bahkan membawa pulang bukti-bukti yang lebih bernilai secara politik, termasuklah kesediaan anak-anak mahasiswa Malaysia untuk bertemu mata dan menyantuni pimpinan parti sekular ini.

Berbeza dengan PAS barangkali, yang mungkin sekiranya berjaulah ke Taiwan atau mana-mana kampus antarabangsa bertemu pelajar Malaysia yang bukan dari kalangan penyokongnya akan sekadar berwacana seperti ayam dan itik bersembang petang.

Belum pernah lagi rasanya PAS bertemu mata dengan mahasiswa bukan Islam di luar negara dan membentangkan aspirasi-aspirasi Islaminya. Bagaimana agaknya sambutan terhadap dakwah PAS itu nanti?

Keramahan mahasiswa Islam yang mengaji agama menyambut rombongan DAP ternyata membuktikan bahawa parti sekular itu lebih berjaya membuka wilayah baru dan tidak membataskan audiennya sekadar dari kalangan yang Cina, kafir, liberal dan sekularis sahaja.

Ini ketimbang pendekatan dakwah PAS yang nampaknya semakin membataskan jangkauannya ke sempadan Besut dan Rantau Panjang sahaja akhir-akhir ini.

Keperluan PAS mendakwah DAP

Tuan Haji Subky dalam tulisannya menyindir Kit Siang, yang katanya kalau mengaku bukan anti-Islam seharusnya memberi masa untuk mendekati Islam dan mengkaji hudud bersama pimpinan PAS.

Ini lucu sekali apabila menyedari bahawa Abdul Hadi tidak pula membentangkan cadangannya kepada Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat sepertimana yang dijanjikan. Sepatutnya tukang pembentanglah yang mendekati audien dan menerangkan agenda yang dibawa, dan bukan sebaliknya seperti perigi cari timba.

Sekiranya PAS merasakan bahawa agenda hudud yang dibawanya adalah agenda agama, dan seluruh umat Malaysia perlu diselamatkan aqidahnya, PAS dan tanzimnya lah yang perlu hadir mesyuarat dan membentangkan secara tulus ikhlas apa yang mahu mereka lakukan.

Bukankah itu peranan sebuah parti dakwah? Kalau mesyuarat Majlis Pimpinan pun tak mahu hadir, bertemu muka juga segan, dakwah apa benda?

Kegagalan politik Presiden PAS dalam menangani politik hudud dan permainan Kerajaan Perpaduan sepatutnya sudah cukup untuk menjadi isyarat bahawa permainan tumbuk tampar dengan rakan Pakatan Rakyat sudah perlu dihentikan kerana ia memberi keriangan kepada pihak lawan.

Tidak pula kita melihat serangan dengan gaya yang serupa diarahkan kepada Umno yang turut tidak pernah bersetuju dengan hudud kecuali di fasa-fasa terakhir sakaratul-mautnya ini. Dan di saat nyawa Umno itu sudah di ubun-ubun, adakah PAS akan lembik tengkuk apabila dihulur salam sayang kasih mesra dengan umpan agama?

DAP memang tidak pernah menyokong hudud, mahupun apa-apa anasir yang cuba mengubah dasar pembinaan negara daripada sebuah persekutuan yang terbina atas asas pemerintah tidak masuk campur soal agama. Mustahil mahu dipaksakan iman Subky Latif ke atas seorang Lim Kit Siang. – Roketkini.com