Berita

Muktamar Pemuda PAS: Usah runtuhkan muafakat

Oleh Sidiqin Omar

SHAH ALAM, 2 JUN: Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kayat menggagaskan 10 perkara untuk melahirkan ‘Pemuda Al-Helmy’ bagi memperkukuhkan Pakatan Rakyat dalam menghadapi pilihan raya umum ke-14.

burhanuddinMengambil semangat dan inspirasi gerak kerja siasah Yang Dipertua PAS ketiga, Dr Burhanuddin al-Helmy, Suhaizan berkata, tokoh kemerdekaan itu adalah rujukan terbaik sayap Pemuda PAS agar lebih inklusif berdepan cabaran semasa.

“Kita menghadapi krisis terhadap tarbiah, fitnah dan adu domba sesama sendiri yang tidak terkawal benar-benar menyedihkan.

“Apabila dibanding produk perkaderan rakan-rakan parti yang lain, (ia) dilihat cemerlang.

“Dalam melahirkan aktivis parti, kita berjaya melahirkan pemimpin (peringkat) pertengahan dan bawahan, namun gagal di peringkat tertinggi,” kata Suhaizan dalam ucaptama Muktamar Pemuda PAS di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah petang ini.

Justeru, kata Suhaizan, gagasan Pemuda Al-Helmy memiliki pakej rabbani dan faqih.

“Inilah legasi yang akan mengisi Putrajaya,” kata Suhaizan disambut laungan takbir.

Tambahnya, ketekunan aktivis akar umbi sangat dihargai, namun perlu sentiasa berlapang dada dalam menghadapi percanggahan pandangan.pas

“Pemuda rabbani bijak menangkis fitnah, sama ada dari tubuh sendiri atau tubuh saudara yang lain. Bukan racun-meracun,” kata Suhaizan membuat teguran.

Beliau turut berpesan agar Pemuda PAS lebih melibatkan diri dalam wacana kumpulan berbeza, beradab tinggi sesama sahabat selain memahami keutamaan, terutamanya dari sudut strategi politik (fiqh awlawiyat).

“Pemuda sentiasa bergerak. Bukan hanya retorik wacana. Turun padang. Mengisi realiti bukan hanya di kutub khanah.

“Pemuda harus terus berusaha menajamkan kemahiran, kerana kemahiran memaknakan sumbangan.

“Jangan sesekali kita runtuhkan muafakat yang telah dibina bersama,” kata Suhaizan. – Roketkini.com