Berita

Teladani istiqamah Nik Aziz perkukuh Pakatan

GEORGE TOWN, 2 JUN – Ketika Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat terlantar di hospital di akhir usianya, rasa kasih sayang beliau terhadap Pakatan Rakyat tetap kukuh.

Demikian perkongsian maklumat anak kedua mantan Mursyidul Am PAS itu, Nik Omar Nik Abdul Aziz dalam sebuah forum memperingati tokoh terbabit yang dianjurkan Penang Institute baru-baru ini.

“ Tok Guru amat menitikberatkan Pakatan Rakyat sebagai alternatif yang paling sesuai bagi membawa keharmonian dan kesejahteraan kepada rakyat dan negara.

“Begitulah besarnya kecintaan Tok Guru terhadap hubungan parti-parti politik dalam Pakatan Rakyat yang telah terjalin lama,” ujar Pengarah Eksekutif Penang Institute, Zairil Khir Johari dalam satu kenyataan.

Forum yang berlangsung di Seberang Jaya itu membawa tema Islam dan Kepelbagaian mengupas lebih mendalam keperibadian Nik Aziz, khususnya berkenaan hubungan kaum dan agama serta hubungan parti-parti politik dalam dan luar Pakatan Rakyat.

“Sebagaimana yang ditegaskan oleh Nik Omar, wasiat yang ditinggalkan oleh Tok Guru adalah keseluruhan kehidupan dan perjuangannya, dan hal ini perlu diteladani oleh semua pihak.

“Sifat istiqamah yang ada pada diri Tok Guru merupakan iktibar yang penting untuk dicontohi dalam sesebuah perjuangan.

“Tok Guru dalam pendiriannya terhadap beberapa isu penting seperti isu pelaksanaan hukum hudud, royalti minyak Kelantan dan kebebasan media, sangat jelas dan beliau tidak pernah mengambil langkah “u-turn” dalam setiap pandangan yang diambilnya,” jelas Ahli Parlimen Bukit Bendera tersebut.

Dalam isu hudud, forum tersebut diberitahu bahawa Nik Aziz tidak mengambil sikap berkeras dalam isu pelaksanaan hudud di Kelantan.

Sebaliknya jelas Nik Omar, Tok Guru lebih gemar mengambil sikap “menerangkan” daripada mengambil sikap “menyerang.”

Bagi Nik Omar, Pakatan Rakyat adalah wadah yang paling sesuai untuk perbincangan dan dialog disuburkan dam isu hudud tidak boleh dijadikan punca pecah-belah hubungan baik Pakatan Rakyat.

“Tok Guru dalam hal ini sentiasa memberi komitmen yang tinggi untuk memastikan Pakatan Rakyat terus kukuh,” katanya.

Selain Nik Omar, forum yang berlangsung Sabtu lalu itu turut menampilkan dua orang lagi ahli panel, iaitu Ahli Parlimen Kluang YB Liew Chin Tong dan Ahli Parlimen Parit Buntar Dato’ Dr Mujahid Yusoff Rawa. – Roketkini.com