Rencana

Islam, kemajmukan masyarakat dalam pemikiran Tok Guru Nik Aziz

Islam mengakui kemajmukan dalam pelbagai ruang kehidupan manusia, baik dalam aspek politik, budaya, sosial malah kemajmukan dalam agama itu sendiri. Namun begitu, kemajmukan agama itu tidak bererti kita mengakui semua agama adalah sama. Ia sebenarnya membawa maksud, sungguhpun Islam diyakini benar oleh para penganutnya, agama lain turut dihormati dan diberi ruang untuk wujud secara bersama. Malah, kebebasan untuk mengamalkan agama masing-masing ini adalah sesuatu yang dituntut oleh Islam.

Dalam kitab suci al-Quran sendiri, banyak ayat yang secara langsung atau tidak langsung membicarakan persoalan kemajmukan manusia. Umpamanya, surah Yunus ayat ke-99 menegaskan:

“Dan jikalau Tuhanmu menghendaki, tentulah beriman semua orang di muka bumi. Maka apakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman semuanya?”

Ayat ini secara jelas mempertegaskan, seandainya Allah hendak menjadikan manusia secara sejagatnya Muslim, Dia pasti dapat melakukannya. Tetapi Allah tidak berkehendakkan demikian. Sebaliknya, diciptakan pula manusia berpuak-puak, bersuku-suku untuk saling mengenali antara satu sama lain.

Dalam konteks masyarakat yang berbilang kaum dan agama di Malaysia, tuntutan untuk menghormati kerencaman budaya adalah sangat penting. Tokoh besar dalam dunia Islam, Sheikh al-Mawdudi membahagikan masyarakat kepada dua ruang lingkup utama iaitu ruang peribadi dan juga ruang umum. Dalam ruang peribadi, pemahaman agama sebagai urusan peribadi antara manusia dengan Tuhan adalah dititikberatkan. Manakala dalam ruang umum pula terletaknya persoalan agama dan kemasyarakatan, di mana perlu adanya sikap yang objektif dan berkecuali dalam usaha untuk menguruskan kepelbagaian, khususnya dalam soal perbezaan pandangan agama.

Apa salah salib pada gereja?

Kegagalan untuk memahami dengan baik kedua-dua ruang ini akan memangkinkan konflik kerana pihak masing-masing akan merasa paling benar berbanding yang lain dan sudah tentu akan menegakkan cara pandang mereka.

Di negara ini, kita sering dikejutkan dengan pelbagai insiden pertelingkahan antara masyarakat yang berbaur perkauman ataupun agama. Secara lazimnya, isu yang menjadi perselisihan juga penuh emosi dan tidak berasaskan rasional langsung. Ambil sebagai contoh, isu pemasangan salib oleh sebuah gereja di Taman Medan, Selangor, baru-baru ini.

Apakah salahnya sebuah gereja meletakkan simbol agama mereka? Perkara ini bukan sahaja dibenarkan oleh undang-undang, malah dalam agama Islam pun tidak ada halangan. Pergi sahaja ke kota-kota lama Islam seperti Kaherah atau Amman, dan di mana ada gereja maka ada salibnya. Tidak pula orang Arab membantah, namun entah kenapa sekumpulan orang Melayu di Selangor boleh merasai iman mereka akan tercabar sekiranya melihat salib. Adakah ini salah orang Kristian ataupun salah orang yang mengaku Muslim ini?

Banyak lagi isu yang serupa. Umpamanya, penggunaan kalimah Allah dan kitab Bible berbahasa Melayu yang menjadi isu hangat, walaupun secara logiknya kita semua mengetahui bahawa sudah berkurun lamanya masyarakat Kristian di rantau Nusantara menggunakan kalimah dan Bible tersebut. Reaksi oleh kumpulan-kumpulan pembantah ini lagi mengejutkan – ugutan, kekerasan, pelemparan bom atau kepala haiwan di rumah ibadat dan sebagainya, jelas bertentangan dengan ajaran Islam sendiri. Sungguh menyedihkan apabila agama Islam diaibkan oleh orang yang kononnya mengaku memperjuangkan bangsa dan agama.

Dalam menghadapi isu-isu kritikal seperti ini, kita perlu mengambil sikap sederhana, iaitu menghormati kepelbagaian dan perbezaan antara satu sama lain, serta memahami sesuatu isu secara mendalam sebelum bertindak. Sikap-sikap seperti inilah yang dizahirkan oleh seorang pemimpin, tokoh agama serta guru yang bernama Allahyarham Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tok Guru bersikap berbeza

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Tok Guru tidak hanya dikenali sebagai seorang tokoh tempatan, malah kedudukannya juga adalah sebagai seorang tokoh yang bertaraf dunia. Beliau dikenali dengan keperibadiannya yang zuhud. Kesederhanaan yang dibawa dalam kehidupan seharian serta dalam urusan pemerintahannya memang sungguh mengagumkan. Justeru, pemergiannya pada awal tahun ini adalah satu kehilangan besar buat kita semua.

Sesungguhnya, banyak sifat-sifatnya yang boleh kita renung dan pelajari. Namun, kekaguman kita yang paling utama adalah pada sifat kesederhanaan, tolak ansur dan cintakan perdamaian beliau, khususnya ketika berhadapan dengan isu-isu hubungan antara kaum mahupun agama.

Dalam situasi di mana hubungan antara kaum dan agama di negara ini boleh dikatakan genting, dengan kewujudan banyak kumpulan atau individu yang mengambil sikap melampau dengan menjadikan kaum dan agama sebagai mainan politik, Tok Guru sering tampil dengan sikap yang jauh berbeza.

Misalnya, beliau tidak keberatan bertemu dengan paderi Kristian ketika mengunjungi Pulau Pinang pada suatu ketika dahulu. Beliau juga pernah singgah ke rumah mendiang Karpal Singh ketika beliau masih hidup dengan tujuan merapatkan silaturrahim – walaupun ramai yang mahu Tok Guru mengecam mendiang Karpal atas ketegasannya menolak perlaksanaan hudud. Namun, Tok Guru memilih untuk melihat persamaan mereka yang lebih besar berbanding perbezaan antara mereka – kualiti yang sukar dicari dalam kalangan pemimpin kini.

Tok Guru bukan sahaja bermesra dengan tokoh agama lain dan ahli politik yang bertentangan pendapat, beliau juga memberi layanan yang baik kepada golongan minoriti di Kelantan ketika beliau menjawat sebagai menteri besar. Pengikut Buddha, sebagai contoh, sering mendapat kunjungan daripada Tok Guru selain daripada memiliki kebebasan untuk mengamalkan kepercayaan mereka tanpa apa-apa sekatan. Kewujudan kuil serta patung-patung Buddha di tengah-tengah masyarakat yang majoritinya Muslim adalah bukti kepada prinsip Tok Guru ini.

Di daerah Tumpat, Kelantan pula, terdapat sebuah wat yang menempatkan patung Buddha berbaring yang dikatakan kedua terbesar di dunia selepas patung Buddha di Myanmar. Begitu juga dengan sebuah patung Buddha duduk yang terletak di Kampung Bunohan, yang merupakan kedua terbesar di Asia Tenggara.

Demokrasi menjamin minoriti

Kewujudan rumah ibadat bukan Islam serta ukiran-ukiran patung besar di Kelantan ini bukanlah sesuatu yang baru. Ia telah berdiri lama dan tersulam sehingga menjadi sebahagian daripada identiti negeri Kelantan.

Sudah pasti, Tok Guru sedar bahawa kehadiran binaan agama lain – biarpun antara yang terbesar di dunia – tidak akan memalingkan akidah umat Islam. Dalam perkara ini, Tok Guru memahami bahawa demokrasi bukan semata-mata soal melayani kehendak majoriti tetapi lebih penting lagi, menjamin hak minoriti.

Dalam kontroversi sekitar kalimah Allah pula, Tok Guru turut menunjukkan sifat rasional dan adil apabila menyatakan pendirian bahawa kalimah itu boleh digunakan oleh penganut Kristian di Malaysia, lantas bertentangan dengan pendirian Majlis Fatwa Kebangsaan. Pendekatan sederhana ini amat dihargai di tengah-tengah masyarakat yang sedang diselubungi sentimen pelampau kaum dan agama.

Justeru, sifat keterbukaan Tok Guru tidak patut disia-siakan. Sebaliknya, kita harus mengiktibarkan istiqamah dan perjuangannya selama ini dengan mengambil sikap kesederhanaan dalam hubungan masyarakat, demi kesejahteraan masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum, agama dan adat resam. Kita juga harus menganggap kerencaman budaya di negara kita sebagai sesuatu rahmat yang perlu dihayati sebagai anugerah Tuhan dan diraikan sebagai satu kelebihan yang boleh kita banggakan.

*Ucapan pembukaan di forum Mengenang Tuan Guru Nik Aziz: Islam dan Kepelbagaian anjuran Penang Institute pada 30 Mei 2015 di Seberang Jaya, Pulau Pinang.