Berita, Budaya

Umar si anak luar biasa

Jika tidak diumumkan, tidak siapa yang akan tahu remaja bersuara ‘matang’ bernama Umar Hasfizal itu anak istimewa kerana menghidap autisme.

Di majlis makan malam amal anjuran Inisiatif Sokongan Autisme Nouri (INSANI) kebolehan Umar memang terbukti.

Baru berusia 17 tahun, Umar memukau hadirin yang ada di Pusat Komuniti Medang Tanduk, Bukit Bandaraya di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

umar rsTampil bersahaja dan pintar pula mengajar penonton berhibur bersamanya, Umar membawa tiga buah lagu bertajuk I Give The Best of Me, Al-I’tiraf dan satu buah lagu baru.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong, Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng dan pelakon Susan Lankester adalah antara tetamu yang turut terpaku dengan pembawaan lagu daripada Umar.

Melalui lagu-lagu itulah, remaja istimewa itu berjaya mengharumkan nama negara apabila memenangi tempat kedua pertandingan Anugerah International Naturally Autistic People di British Columbia, Kanada dan juara The Malaysian Special Idol pada 2006.

Menurut bapanya Hasfizal Mukhtar, 40, bakat Umar dalam nyanyian mula dikesan ketika berusia 10 tahun oleh seorang guru di sekolah khas bawah seliaan Persatuan Autisme Kebangsaan Malaysia (NASOM).

Katanya, beliau sendiri ketika itu masih tidak menyedari bakat Umar sehinggalah guru tersebut membawa anak pertama dari tiga adik beradik itu ke pertandingan The Malaysian Special Idol di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Umar dan Hasfizal2Hasfizal mengatakan, dia sendiri tidak sangka bahawa anaknya pengidap kecacatan perkembangan saraf yang menyebabkan berlaku mempunyai kesukaran berinteraksi tetap mempunyai bakat nyanyian.

“Saya tak tahu dan ketika cikgu dia bawa ke pertandingan tu, baru kami sekeluarga tahu. Kemudian saya terfikir, keupayaan dia mengalunkan lagu dengan baik adalah berpunca daripada ciri-ciri ekolalia yang ada pada dirinya dan itulah keistimewaan yang ada pada Umar.

“Ekolalia ini bagaimana kanak-kanak autisme menghafal contohnya seperti bila kita tanya nama dia, dia akan ulang balik soalan sama, dengar bunyi dan ulang semula bunyi itu.

“Saya ingat lagi, masa beli piano mainan untuk dia, malam tu Umar dah boleh main piano tu dan bawa lagu Ella ‘Standing In The Eyes of The World,” kata Hasfizal sambil menambah ciri-ciri istimewa ekolalia adalah umpama pita rakaman.

umarrSelain menyanyi, Umar turut mempunyai kebolehan menghafal ayat al-Quran seperti surah Yasin dan al-Mathurat bahagian 1 yang terkandung dalam albumnya bertajuk Doaku.

Mengulas mengenai bagaimana bakat beliau dicungkil, suami kepada bekas Eksekutif Hewlett Packard itu menyatakan bahawa ia adalah berpunca dari penglibatan Umar dalam koir NASOM iaitu koir pertama autisme di Malaysia.

“Dari penglibatannya dalam koir itulah seorang komposer bernama Brian John Yim nampak bakat yang dia miliki,” katanya.

Selain Brian, seorang Produser Ku Mohamad Haris juga berminat untuk menggunakan khidmat Umar dalam filemnya yang bakal ditayangkan September nanti.

Lagu-lagu Umar termasuk satu lagu baru akan dimuatkan sebagai runut bunyi (soundtrack) untuk filem khas tentang autisme iaitu Redha – Beautiful Pain.

Orang ramai yang berminat mendapatkan Album Hasfizal iaitu Doaku dan I Give The Best of Me melalui pesanan email ke [email protected] atau di nombor 019-6991308.

Perkembangan terkini mengenai Umar boleh diikuti di laman web umarhasfizal.com dan Facebook: Umar – I Give The Best of Me. – Roketkini.com