Berita, Isu Semasa

DAP Johor: Pesuruhjaya PAS Johor kurang integriti

KLUANG, 16 JUN: Setelah terburu-buru memutuskan hubungan dengan DAP dalam muktamar, Pesuruhjaya PAS Johor Datuk Dr Mahfodz Mohamed yang dilihat cuba membuat pusingan U boleh dianggap kurang berintegriti.

Menurut Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong, Mahfodz yang juga Ketua Dewan Ulama PAS adalah orang yang bertanggungjawab membawa usul memutuskan hubungan dengan DAP dalam Muktamar PAS ke-61 dua minggu lalu.MUKTAMAR_PAS_61ST_060615_TMINAZIRSUFARI_35

Namun, kelmarin setelah diumumkan sebagai pesuruhjaya PAS Johor yang baru Mahfodz dilihat cuba menjalin semula hubungan dengan DAP Johor apabila menyuarakan keinginan meneruskan kerjasama dengan DAP dan Pakatan Rakyat.

“Kemenangan puak konservatif dalam pemilihan PAS yang seterusnya menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan UMNO, dan keputusan muktamar untuk memutuskan hubungan dengan DAP menjadi langkah pertama membunuh Pakatan Rakyat.

“Saya kira kenyataan Mahfodz yang tiba-tiba ingin meneruskan hubungan dengan DAP adalah kenyataan yang kurang integriti,”ujar Chin Tong.

Tambah Chin Tong, kerjasama Pakatan Rakyat dibina atas kerangka dasar bersama.

Tanpa dasar bersama, katanya, harapan melawan UMNO dan Barisan Nasional dalam pilihan raya akan datang hanya akan dicapai dengan rombakan semula gabungan politik baru yang mempunyai agenda jelas.

“DAP Johor hanya akan bekerjasama dengan mereka yang ingin jatuhkan UMNO, termasuk golongan progresif PAS.

“Disebabkan Mahfodz merupakan pencadang usul putus hubungan dengan DAP, saya tak nampak ruang kerjasama antara DAP dan PAS Johor,” tegas Chin Tong lagi. – Roketkini.com