Rencana

Kerajaan harus berhenti jadi negara pengasuh

Sudah menjadi satu rahsia umum peranan Biro Tata Negara (BTN) di bawah Jabatan Perdana Menteri sebagai badan penyemai doktrin hegemoni parti pemerintah. Dengan terdedahnya slaid pembentangan BTN menyerang aktiviti dan penerbitan alternatif yang semakin berpengaruh di kalangan anak-anak muda, ia mengisyaratkan bahawa aktiviti dan penerbitan alternatif kini dilihat sebagai ancaman kepada kerajaan dan parti pemerintah.

Slaid BTN itu melabel aktiviti dan penerbitan yang rata-ratanya diterajui anak muda atau mereka yang berjiwa muda sebagai ‘Gerakan Indie’ dan kemudiannya mentakrifkan ia satu gerakan anti-establishment dengan nada yang negatif.logo btn

Cadangan mendepani ‘Gerakan Indie’ di hujung slaid menggambarkan betapa seolah kumpulan indie ini satu ancaman yang harus ditangani pihak berkuasa. Antara cadangannya adalah:

1. Pemimpin politik turun mendekati mereka untuk memahami aspirasi golongan berkenaan
2. Mengharamkan buku-buku terbitan mereka yang berunsur lucah/bebas
3. Mewujudkan hubungan dan mengenal pasti permasalahan dan keperluan mereka
4. Membantu melahirkan ikon kanan di kalangan anak muda
5. Aktifkan kumpulan diskusi mini untuk kader

Pertama, jelas sekali slaid ini disediakan oleh seseorang yang sama ada tidak pernah langsung mendekati kelompok anak muda ini; atau pun sengaja mencipta maklumat seperti itu untuk memenuhi nafsu negara pengasuh (nanny state) para kuasawan yang disyaki menjadi audien pembentangan.

Malah menjadi jenaka ramai apabila muzik punk yang diketahui tegar dengan semangat melawan dan anti-establishment tidak pula dimasukkan di dalam senarai. Barangkali pembuat slaid tidak pernah langsung mendengar Dum Dum Tak!

Meletakkan semberono bahawa individu tertentu adalah penyokong parti pembangkang membuktikan bahawa pembuat slaid tidak langsung cakna dengan budaya anak muda hari ini.

Malah mereka masih tersekat dengan idea bahawa asal saja kritis terhadap kerajaan atau arus perdana, maka pastinya penyokong pembangkang. Secara tidak langsung merendah-rendahkan daya idealisme kebanyakan anak muda yang semakin ramai tidak lagi melihat politik dari sudut pandang kuno dan dikotomi kerajaan – pembangkang.

punk Cadangan yang diberikan di hujung slaid menggambarkan corak klasik fikir parti pemerintah dan kerajaan.  Meskipun pelbagai cubaan untuk kelihatan cool cuba dilakukan Menteri Belia dan Sukan, pemerintah secara  keseluruhannya masih berasakan dirinya pengasuh yang perlu mengawal setiap sesuatu di bawah jajah  kuasanya. Semua yang dilabel sebagai ‘Gerakan Indie’ itu dipandang sebagai ancaman kerana tidak berada di  bawah kawalan mereka.

Segala yang malawan harus hendaklah dikekang, kerana arus perdana itulah hagemoni yang telah disuburkan  kerajaan. Sama ada anak muda mesti ikut atau berdepan dengan risiko dimusuhi dan dikekang. Corak fikir yang  sama suatu masa dahulu ketika penyanyi rock dipaksa potong rambut pada awal 90-an sebenarnya masih pekat  dalam sanubari pemerintah.

 

Cuma kali ini tiada rambut yang hendak dipotong, maka dicadangkan pula karya dan aktiviti anak-anak muda untuk dicantas.

Ini semua harus dihentikan. Mana-mana parti politik harus insaf bahawa, izinkan saya memparafrasakan Soe Hok Gie, yang mereka bukan dewa manakala anak muda bukan kerbau. Ini bukan zaman perang dingin dan indoktrinasi.

Anak-anak muda harus diberikan kebebasan meneroka sebarang kemungkinan dan pemikiran. Tanggungjawab mereka yang berkuasa adalah kalau tidak menyediakan pun, paling kurang jangan sekat ruang untuk anak muda meneroka idealisme mereka dengan selamat.

Sudah tentu anak-anak muda yang sudah melalui proses meneroka itu jauh lebih matang berbanding kerbau yang dicucuk hidungnya atas nama wajib menuruti arus perdana.