Rencana

Gimnastik sebagai praktik kebebasan, penghormatan

Kira-kira tiga bulan yang lepas saya ada menulis artikel bertajuk Tentang Atlet Wanita Berseluar Pendek iaitu berkaitan seorang pelajar perempuan menyertai acara pertandingan berjalan kaki di Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Kulaijaya dengan secara sukarelanya memakai seluar pendek tetapi memakai tudung.

Ternyata isu ini telah mendapat perhatian masyarakat walaupun secara asasnya mereka tidak memahami peraturan yang perlu dipatuhi setiap atlet.

Yang menariknya, rata-rata yang memberi komen ataupun respon berkaitan isu tersebut adalah berpaksikan agama dan berbentuk cemuhan semata-mata.

farah-ann-sukan-seaBeberapa hari lepas, isu lebih kurang sama telah berlaku. Apabila gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi memenangi pingat emas di temasya Sukan SEA ke-28 di Singapura dicemuh kerana “tidak menutup aurat”.

Ternyata, rata-rata masyarakat masih memandang sukan dari sudut hokum-hakam semata-mata tetapi tidak dari segi intipati dan semangat kesukanan secara keseluruhan.

Mengambil berat terhadap sesuatu yang berlaku di sekeliling kita memang baik. Ini disebabkan, seseorang individu adalah sebuah karekter yang sangat penting dalam masyarakat. Tanpa individu, tidak wujud masyarakat; tanpa masyarakat tentu tidak wujud negara.

Tidak kira apapun yang berlaku di sekeliling kita, setiap individu mempunyai hak untuk berpatisipasi dan memberikan pandangan mereka. Cuma ia mestilah dengan tanggungjawab, iaitu memahami kandungan sesuatu perkara itu dengan sebaiknya.

Individu tersebut juga mestilah memahami had kebebasan yang dimilikinya dan ruang kebebasan yang dimiliki individu lain dalam memberikan pandangannya.

harussani-zakaria1Dalam isu Farah Ann ini, saya tidak bersetuju dengan pihak yang menggunakan alasan agama untuk mencemuh pakaian yang telah dipakainya. Bahkan, saya juga menolak pendapat Datuk Seri Harussani Zakaria selaku Mufti Perak yang mengatakan bahawa gimnastik bukan untuk orang Islam.

Pendapat seperti ini bagi saya keterlaluan dan pemikiran terlalu cetek.

Pertamanya, saya melihat bahawa Farah Ann selaku individu, beliau berhak memilih tatacara pakaian yang diingininya. Saya yakin orang ramai akan berkata, selaku muslimah dia wajib menutup auratnya. Tetapi saya berpendapat “wajib” itu antara dia dengan Tuhan; bukan dengan masyarakat. Tuntutan agama itu bersifat peribadi dan bukan paksaan, sebaliknya sukarela.

Seseorang yang mempercayai Islam sebagai agama yang benar, tidak berhak untuk memaksakan kepercayaannya itu kepada orang lain. Ataupun jika seseorang itu percaya kepada sesuatu tuntutan dalam sesebuah agama, dia juga tidak berhak untuk memaksakan pelaksanaan itu kepada orang lain. Agama tidak sewajarnya bersifat paksaan kerana ia hanya akan membuatkan orang muak dan benci kepada agama.

Asas kepada pakaian gimnastik Farah Ann tersebut adalah untuk memudahkan juri melihat dan membuat pengadilan dalam setiap gerak dilakukan atlet. Gimnastik adalah sukan yang mementingkan gerak geri lancar dan kemas. Sekiranya pakaian yang longgar dan besar dipakai altet, maka ia menyukarkan juri melakukan pengadilan tepat.

FARAHANNTWEETKedua, rata-rata atlet gimnastik menerima pakaian sebegitu adalah sebagai salah satu etika semasa pertandingan. Maka, Farah hanya memakai pakaian yang dipersetujui di dalam gelanggang pertandingan. Tindakannya itu dianggap beretika apabila berada di dalam gelanggang atau sekitar kawasan pertandingan.

Dalam isu ini juga, perlu kita memahami konsep private sphere (ruang peribadi) dan public sphere(ruang awam). Dalam konteks ini gelanggang adalah private sphere bagi atlet. Saya percaya kita tidak akan dapat melihat Farah Ann memakai pakaian seperti di gelanggang ketika berjalan-jalan di tengah kota atau pusat beli-belah.

Ketiga, isu yang juga penting ditekankan iaitu isu kesaksamaan jantina. Disebabkan Farah seorang wanita, dia ditempelak dan dicemuh dengan pelbagai kata-kata yang kesat. Pada masa sama, atlet lelaki dalam sukan lain (seperti terjun, bina badan dan renang) tidak pula diperlakukan seperti Farah Ann.

Walaupun perbahasan aurat dalam agama Islam berbeza antara lelaki dan perempuan, hak memilih cara berpakaian perlu diberikan secara saksama kepada sesiapa sahaja. Tidak kira sama ada lelaki atau perempuan.

Imaji Cinta HalimaNovriantoni Kahar dalam novelnya bertajuk Imaji Cinta Halima mengkritik budaya pemakaian ini dengan bernas sekali. Apabila watak dalam kisah tersebut – kebetulan bernama Farah – telah mengenakan purdah, mata lelaki masih memandangnya dengan pandangan tajam (berahi).

Zakiah yang lebih berusia daripada Farah menyatakan, bukan gadis itu yang menggoda tetapi tingkah laku lelakilah yang perlu diperbaiki.

Kita perlu belajar dan terus belajar bahawa golongan wanita tidak wajar dilihat sebagai objek seks kerana mereka juga insan yang perlu diperlakukan dengan nilai-nilai kemanusiaan seperti orang lain.

Saya percaya, setiap agama secara asasnya menganjurkan perkara yang membawa manusia ke arah kebaikan dan saya juga percaya, penganut yang mencemuh dan meletakkan dirinya sebagai bayang-bayang Tuhan hanya akan memberi kesan yang buruk kepada agama itu sendiri.

Penganut agama yang baik adalah yang mampu mengajar manusia ke arah kebaikan tanpa melakukan sebarang paksaan. Dia juga mampu untuk menghormati pendirian dan pegangan orang lain tanpa memaksakan kepercayaan yang diyakininya benar.

Mengharamkan atau menghalang seseorang muslim menceburi sukan gimnastik semata-mata kerana aurat adalah sesuatu yang ketinggalan pemikiran dan pengetahuan.

Dalam isu pakaian sukan, sebenarnya ia sudah melalui evolusi dengan mengambil kira budaya dan kepercayaan atlet.

Menjadi pilihan atlet tersebut untuk mengenakan jenis pemakaian yang difikirkan selesa dan mudah untuk melakukan gerak geri semasa pertandingan. Selagi mana, tingkah laku seseorang atau atlet tersebut tidak mengganggu kebebasan dan keamanan orang lain maka selagi itu beliau mempunyai ruang kebebasan untuk dipraktikan. – Roketkini.com