Berita

PKR Sarawak disaran kaji hubungan dengan PAS

KUCHING, 19 JUN: Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen menggesa PKR menamatkan hubungan dengan PAS jika tidak mahu perkara lebih buruk berlaku.

Katanya, keputusan PKR Sarawak untuk terus bekerjasama dengan PAS bukan saja akan mendatangkan lebih banyak mudarat, malah tidak memberi sebarang faedah.

“PKR mesti menerima hakikat Pakatan Rakyat sudah mati, bukan saja di Sarawak tapi di peringkat kebangsaan.

“Ia merupakan satu perkara yang tidak masuk akal bagi DAP untuk menjalinkan hubungan dengan PAS tapi bekerjasama dengan PKR yang masih tetap setia dengan PAS.

“Hanya pihak yang oportunis saja akan meletakkan diri dalam kedudukan demikian,” katanya.

Ahli Parlimen Bandar Kuching itu menegaskan, DAP Sarawak bersedia bekerjasama dengan sesiapa saja yang berpegang kepada Dasar Bersama untuk Malaysia yang lebih baik.

“Kepimpinan PAS sekarang ini tidak mempunyai tempat dalam politik Sarawak,” ujar Chieng Jen. – Roketkini.com