Berita, Isu Semasa

Hadi Awang musnahkan Pakatan Rakyat

KUALA LUMPUR, 20 JUN: DAP hari ini mempersoalkan tindakan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa Pakatan Rakyat belum berkubur sedangkan beliau secara terbuka sebelum ini melanggar Dasar Bersama yang telah dipersetujui.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, kelakuan Hadi yang membelakangi Dasar Bersama merupakan punca utama mengapa Majlis Pimpinan Pakatan tidak dapat berfungsi kebelakangan ini.

Kiti SIang Forum PBTKatanya, Hadi juga enggan menghadiri mesyuarat dan tidak menghormati perjanjian yang sudah dibuatnya dalam Majlis Pimpinan Pakatan.

“Saya berasa pelik apabila Hadi mendakwa Pakatan belum berkubur apabila beberapa tahun kebelakangan ini beliau telah memusnahkan Pakatan dengan melanggar Dasar Bersama dan konsensus, dua tiang yang mengawal kejayaan Pakatan, di mana tanpanya tidak akan wujud Pakatan Rakyat,” katanya.

Semalam, Abdul Hadi berkata bahawa Pakatan Rakyat masih wujud dan menegaskan DAP tidak mempunyai hak untuk menyebut bahawa gabungan itu tidak lagi wujud.

Beliau memberitahu wartawan di kediamannya bahawa tiada sebarang kenyataan rasmi mengenai pembubaran Pakatan Rakyat oleh DAP. -Roketkini.com