Berita, Isu Semasa

Bekas Exco Pemuda PAS Johor sertai DAP

KLUANG, 21 JUN: Beberapa hari selepas seorang penceramah PAS membayangkan betapa beratnya ‘dosa’ meninggalkan parti itu, bekas Exco Pemuda PAS Johor Sheikh Omar Ali secara rasminya menyertai DAP dengan menyerahkan borang keahlian malam tadi.

Borang itu diterima sendiri oleh Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang di majlis Sembang Santai dan Berbuka Puasa di Kluang.

WIRA1527Sheikh Omar berkata, keputusannya memilih menyertai DAP dibuat berdasarkan senario politik nasional ketika ini yang kian meruncing.

“Isu skandal 1MDB, Felda Global Ventures (FGV), penyelewengan Tabung Haji, krisis dalaman UMNO dan banyak lagi amat menuntut kepada satu langkah tuntas bagi memastikan rakyat dapat diselamatkan dari terus menjadi mangsa.

“Dalam hal ini, saya melihat ada ruang yang boleh saya sumbangkan menerusi DAP khasnya sebagai seorang anak muda bagi menjadi sebahagian daripada agen perubahan untuk negara.

“Saya yakin DAP dapat menjadi platform untuk saya memainkan peranan lebih aktif dalam usaha ke arah membentuk Malaysia yang lebih demokratik, adil dan sejahtera,” kata beliau.

Turut hadir dalam majlis adalah Sasterawan Negara A Samad Said, Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong, ADUN Mengkibol Tan Hong Pin dan Ahli Jawatankuasa DAP Johor Mahdzir Ibrahim.

Selain pernah menjadi Exco Pemuda PAS Johor, Sheikh Omar pernah berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Putrajaya dan penggerak Sekretariat Pakatan Rakyat Pusat sebelum pulang ke bumi Darul Takzim.

Bekas graduan Universiti Malaya yang aktif dalam Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (GAMIS) itu kini menabur khidmat sebagai Pembantu kepada Ahli Parlimen Kluang. – Roketkini.com