Berita, Wawancara

‘Saya impikan Malaysia baru’

Beberapa hari selepas seorang penceramah PAS membayangkan betapa beratnya ‘dosa’ meninggalkan parti itu, bekas Exco Pemuda PAS Johor Sheikh Omar Ali secara rasminya menyertai DAP.

Beliau telah menyerahkan borang keahlian kepada Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang di majlis Sembang Santai dan Berbuka Puasa di Kluang, Johor.

Sheikh Omar merupakan aktivis mahasiswa yang terlibat dalam Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) dan bekas Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).

Beliau pernah berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Putrajaya serta penggerak kepada Sekretariat Pakatan Rakyat Pusat sebelum pulang ke Johor untuk menjawat sebagai Pembantu kepada Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong.

Roketkini sempat meluangkan masa menemubual beliau bagi membincangkan keputusannya menyertai DAP, impiannya untuk negara, masalah perkauman dan lain lagi.

Kenapa memilih menyertai DAP?10299539_10153054859553950_2312757438022783216_n

Penyertaan saya sebagai ahli DAP adalah berdasarkan senario gawat politik nasional hari ini yang kian parah.

Dalam hal ini, sebagai anak muda saya melihat ada ruang yang boleh saya sumbangkan menerusi DAP bagi menjadi sebahagian daripada agen perubahan untuk negara.

Saya juga punya keyakinan menerusi wadah DAP ini akan dapat menjadi platform untuk saya memainkan peranan lebih aktif dalam usaha ke arah membentuk Malaysia yang lebih demokratik, adil dan sejahtera.

Bagaimana penerimaan keluarga dan rakan-rakan (khususnya dari kalangan pimpinan PAS sendiri)?

Keluarga saya menerima dengan baik keputusan saya untuk menyertai DAP. Walaupun ada sedikit kerisauan terhadap respon yang bakal diterima oleh masyarakat hasil dari tindakan yg saya ambil ini, namun umumnya mereka sangat positif dalam membantu melonjak karier politik saya untuk memaksimumkan sumbangan ke arah perubahan di Malaysia.

Dalam aspek ini juga, ibu dan bapa pastinya adalah sumber kekuatan saya.

Di kalangan rakan-rakan PAS, ada yang meminta saya hold dahulu. Namun keputusan sudahpun saya ambil. Saya tidak boleh terus berpusing-pusing dalam kerangka perbincangan PAS hari ini yang seperti sekadar beat around the bush!

Rakyat diluar sana sedang menderita kerana kebobrokan UMNO-BN yang terus menerus menindas mereka. Saya lihat, menerusi wadah DAP saya boleh membantu mereka.

Malaysia kini dilihat gagal menjadi seperti apa yang diharapkan, di mana rakyatnya dapat hidup secara bersederhana. Apakah puncanya dan bagaimana cara untuk memulihkannya?

Punca kepada permasalahan yang dihadapi oleh rakyat hari ini adalah hasil dari kegagalan tadbir urus dan tatakelola yang bersih, telus dan adil.

WIRA1527Asasnya, Malaysia bukanlah sebuah negara yang naif. Kita punya sumber galian dan hasil bumi yang cukup untuk mensejahterakan kehidupan rakyat.

Namun akibat ketirisan serta pemborosan oleh sekelompok elit berkuasa dan kroni, rakyat terpaksa menanggung derita. Kesannya, cukai GST diperkenalkan, wang rakyat di Tabung Haji dikhianati, terkini isu TNB yang dikaitkan dengan skandal 1MDB pula, dan bermacam-macam lagi.

Kunci penyelesaian kepada isu ini ialah kembali kepada tadbir urus dan tatakelola bernegara yang amanah, telus dan adil kepada semua rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.

Apakah impian saudara untuk Malaysia?

Saya mengimpikan sebuah Malaysia yang baru. Malaysia yang gagah, rakyat dan urus tadbirnya.

Malaysia amat unik. Rakyatnya pelbagai dibawah satu bendera. Saya melihat kepelbagaian ini sebagai satu kekuatan untuk kita membina Malaysia yang gagah dimata dunia.

Namun lebih 50 tahun dibawah pentadbiran UMNO-BN, kita dibuai dengan kerukunan rakyat yang palsu. Dalam pada slogan perpaduan dilaung-laungkan oleh para pemimpin mereka, racun-racun perkauman, prejudis dan kebencian turut sama ditabur ke dalam minda rakyat. Ini tidak sihat.

Saya mengimpikan Malaysia yang mensejahterakan rakyatnya. Kepelbagaian yang wujud adalah untuk saling dikenali, dihargai lantas dihormati. Rakyat hidup penuh kasih sayang dan rukun.

Ekonomi dan pembangunan negara perlu kukuh. Hasil mahsul negara diurus penuh amanah. Sistem demokrasi berfungsi dengan baik sehingga wujud semak dan imbang (check and balance) dalam memastikan urus tadbir negara berjalan atas landasan yang betul.

Apakah perkara paling penting untuk negara sekarang ini? Apa yang sepatutnya menjadi fokus utama?

WIRA1759Perkara yang sewajarnya menjadi keutamaan negara sekarang ini tentunya soal memerangi ketirisan, rasuah dan salah guna kuasa.

Agenda mengangkat taraf hidup rakyat perlu menjadi fokus.

Dalam masa yang sama, arah pembentukan masyarakat yang berbilang bangsa juga perlu diperbetulkan.

Hegemoni UMNO-BN selama ini yang giat memainkan sentimen perkauman dan kebencian perlu dihentikan segera.

Mampukah kita memecahkan tembok perkauman yang masih menebal di kalangan rakyat?

Saya optimis kita mampu. Namun saya berpandangan, operasi memecah tembok perkauman tidak cukup sekadar pada slogan semata-mata. Ia perlu melalui proses pencerahan dan pendidikan yang berpanjangan untuk rakyat.

Anda bayangkan, lebih 50 tahun pemikiran rakyat telah dibentuk mengikut acuan perkauman ini. Di sekolah, universiti, media dan sebagainya. Proses memecahkan tembok ampuh perkauman ini pastinya tidak akan berjaya dalam tempoh sehari.

Namun saya optimis jika program-program berorientasikan pencerahan dan pendidikan ini dapat disusun, memecah tembok-tembok perkauman ini tidak mustahil untuk dijayakan.

Islam kini dipandang secara bentuk, contohnya apabila bercakap soal Islam, orang atau individu akan merujuknya kepada institusi yang bentuknya ‘Islam’ sahaja.

Tapi apa yang dilakukan DAP dalam isu seperti pendidikan, melawan rasuah, menentang perkauman sempit, melawan penindasan yang sebenarnya lebih ‘Islam’ daripada Islam bentuk tidak pula dianggap sebagai Islam, walhal ia cukup sifat Islamnya. Kenapa ada paranoia dan stigma seperti ini?

Untuk hal ini, saya kemukakan sebuah kaedah dalam Islam:

“Al hukmu yadhurru ma ‘ala musamma la ‘alal ismi…”

10452395_10152465561728950_4414357695282868434_nMaksudnya sesuatu hukum berlegar pada perkara yg diberikan nama (intipati), bukan sekadar pada jenamanya.

Saya berpandangan, kebanyakan dari penerapan Islam di Malaysia amat menekankan soal ‘bentuk-bentuk’, ‘lembaga-lembaga’ dan ‘jenama-jenama’ Islam semata-mata.

Namun sekiranya nilai sebenar yang ingin diutarakan menerusi penerapan sesuatu hukum atau ajaran Islam itu gagal dihayati, ia akan menyebabkan salah faham terhadap Islam. Lebih malang lagi sekiranya ia memberikan gambaran buruk dari maksud sebenar nilai kebaikan yang ingin disampaikan oleh ajaran Islam.

Usaha DAP seperti melawan penindasan, menentang perkauman sempit, membetulkan urus tadbir serta ekonomi negara, melawan ketirisan dan rasuah dan sebagainya perlu diteruskan. Itulah Islam!

Boleh ceritakan pengalaman bekerja bersama DAP di Johor?

Saya mula berkerja dengan DAP di Johor sebagai pembantu kepada Ahli Parlimen Kluang-Liew Chin Tong. Secara tidak langsung juga, saya membantu ADUN Mengkibol Tan Hong Pin dimana DUN tersebut adalah dibawah kawasan Kluang.

Selepas setahun, portfolio saya dikembangkan meliputi tugasan-tugasan melibatkan DAP Johor umumnya.

Apa kelainannya bekerja bersama DAP berbanding ketika bekerja dengan PAS dan PKR sebelum ini? Bagaimana suasananya?

shakerPengalaman saya yang sekadar terbatas dalam lingkungan DAP Johor memberikan gambaran kepada saya bahawa parti ini sangat menghargai tenaga anak muda.

Sebagai anak muda, anda akan berasa puas sekali kerana diberikan ruang melontarkan idea serta mencetuskan idea-idea tersebut kedalam bentuk tindakan, program dan gerak kerja. Kepemudaan anda akan amat terasa dihargai… (ketawa).

Namun dalam DAP saya dapat rasakan bahawa prestasi serta pencapaian kerja amat dititik beratkan berbanding hanya sekadar pandai bercakap dan berpolemik semata-mata.

Apa perancangan saudara untuk anak muda? Apakah strategi (melalui DAP) untuk lebih mendekatkan diri dengan mereka?

Anak muda merupakan agen perubahan dan pemain utama dalam menentukan halatuju negara untuk masa akan datang.

Dengan pengalaman aktivisme di kampus, saya fikir disitu wujud satu ruang bagi saya untuk mengambil inisiatif mendekati anak-anak muda mahasiswa khususnya untuk lebih mengenali DAP dan menyalurkan tenaga membina Malaysia.