Budaya, Sastera

Nostalgia dalam Twitter: Lagi sempit lagi dia suka

Jika kamu belum follow akaun @airmas_sz di Twitter, lebih baik kamu buat begitu sekarang, sewaktu rocker dari Sungai Siput itu sedang mengarang cerita-cerita cinta lamanya dalam limitasi 140 karakter.

Airmas SZ, atau nama sebenarnya Samsul Zakaria – entah kenapa – sejak masuk bulan Ramadan ini sedang kesurupan menulis perihal kenangan zaman remajanya di Bandar raya Ipoh sekitar 1980-an.

Pengalamannya menonton konsert rock bersama kawan-kawan, bertemu gadis sebelum cuba memikatnya, jamming, jeans koyak lutut, makan ais kacang, ah, cerita-cerita yang disorot satu-satu dalam setiap statusnya telah membuat pembaca ketagih dan menunggu-nunggu cerita selanjutnya.

Airmas dikesan memulakan anekdot ini pada 20 Jun lalu, iaitu hari ketiga umat Islam berpuasa.

Sejak hari itu sehingga artikel ini ditulis, telah lebih 80 twit dikeluarkan Airmas berkisar percubaannya memikat si gadis, bermula pertemuan mereka pada satu konsert Search, apabila si gadis “mengoratnya” dan mengikutinya balik dengan bas.

Bermula dari situ, Airmas mungkin semakin mabuk (ironisnya, sekarang bulan puasa) mengarang status twit tentang si gadis dari masa silamnya itu.

Celakanya, kita turut diajak mabuk sama.

airmas2Apa yang menarik, bukan sahaja cerita yang disampaikan Airmas itu, tetapi medium yang digunakannya iaitu menerusi laman sosial Twitter. Kita tak tahu kalau perkara ini pernah dibuat orang, tapi boleh dikatakan percubaan Airmas ini berjaya, malah gila.

Limitasi karakter Twitter rupa-rupanya tidak menghalang orang kreatif untuk berkarya sebaliknya menjadikan ia semakin ghairah untuk diterokai dan dinikmati. Airmas tidak peduli 140 karakter. Dia langgar saja.

Sebab itu dalam sesetengah twitnya, kita boleh lihat ada ayat yang berakhir dan tergantung dengan perkataan “Dia” misalnya, kerana had karakter sudah habis. Airmas hanya akan sambung ayat tersebut dalam status berikutnya dan sementara status baru itu ditulis, kita sudah pun kegilaan menunggu.

Elemen-elemen suspen, thrill (dan sering juga erotis) terbina sebiji-sebiji lewat siri twit Airmas. Kamu ketinggalan satu twit dan kamu akan terputus dari jalinan cerita yang digarapnya.

Suara garau, serak-serak basah

Oleh itu, cara terbaik untuk membaca cerita Airmas adalah dengan masuk ke profilnya, bukan membaca dari garis masa akaun sendiri. Twitter bukanlah medium terbaik untuk mengarang cerpen ketimbang had aksara, selain bahasa Melayu mempunyai perkataan yang relatif panjang.

Ruang sempit itu hanya mampu memuatkan paling banyak tiga atau empat ayat pendek tapi agaknya lagi sempit, lagi Airmas suka. Dia boleh memenuhi ruang sempit itu dengan kebesaran kata-katanya.

Airmas adalah pemuzik – atau lebih tepat, rockers 1980-an – yang terperangkap dalam 2015.

Dia sering buat persembahan secara runcit-runcitan di majlis tertentu seperti di Madrasah Seni Gombak, Suara Kuala Lumpur di Perpustakaan KL, pernah perform di Maskara Rumah Pena, malam Baca Puisi Dunia Numera dan majlis sastera lain.

Dia melagukan puisi dengan gitar – sama ada puisi yang diciptanya sendiri atau puisi orang lain.

saharaSuaranya garau, serak-serak basah. Barangkali kadang-kadang dia akan perasan suara dia macam Iwan Fals.

Lagu Membenarkan Kebodohan yang dicipta Airmas daripada puisi Abdullahjones adalah satu lagu wajib dengar. Gabungan lagu indah dengan puisi mantap.

Dia pernah upload di Internet lagu itu lama dulu. Tapi, kamu mahu tahu apa jawapan Airmas apabila ditanya kenapa tak main lagu itu dalam majlis Suara KL beberapa bulan lalu? Katanya:  Lagu itu dia sudah lupa.

Kalau kamu mahu masuk ke zaman itu; zaman rock 1980-an seperti dalam filem Rock Mamat Khalid, Airmas SZ adalah salah satu pintu yang kamu boleh lalui untuk melihat apa yang ada di dalamnya.

Airmas akan sentiasa terbuka untuk itu. Jika bernasib baik, mungkin kamu boleh jumpa Ella, Search, Handy Black, The Unwanted, Tina Turner dan lain-lain di sana. Tapi jika nasib kamu agak sederhana, mungkin kamu hanya akan berjumpa dengan Sahara Yaacob!