Berita, Isu Semasa

Apa motif Shafee mahu singkir Tony?

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Usaha UMNO menggugurkan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua daripada menganggotai Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dilihat satu lagi perancangan parti berkenaan untuk menutup skandal hutang mega 1MDB.

Usaha itu kini giat dijalankan peguam Tan Sri Mohamed Shafee Abdullah yang terkenal sebagai pendakwa dalam perbicaraan fitnah liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tony2

YB Tony Pua antara pembongkar paling lantang skandal hutang mega 1MDB.

“Shafee mendakwa saya banyak buat kenyataan dan memberi kesan terhadap siasatan ke atas 1MDB.  Kerana itu, dia mahu saya keluar dari jawatankuasa PAC.

“Kenyataan Shafee merepek. Bagaimana hanya dengan buat kenyataan dan jalankan tanggungjawab saya  sebagai ahli parlimen yang dipilih rakyat saya membahayakan siasatan ke atas 1MDB?” soal Tony.

Tony antara individu paling lantang membongkar skandal 1MDB. Selain giat memberi kenyataan akhbar  mengenai skandal itu, beliau turut ligat berforum dan berceramah untuk menjelaskan isu berkenaan  kepada rakyat.

Kelantangan Tony membuatkan Perdana Menteri Najib Tun Razak turut merasai bahangnya sehingga  akhirnya menyaman Pengerusi DAP Selangor itu Mac lalu.

Tambah Tony lagi Shafee tidak boleh menganggap dirinya tidak layak sedangkan apa yang penting adalah hujah dalam kritikannya terhadap pengurusan 1MDB.

“Jika semua kenyataan saya itu benar dan kajian saya mengenai skandal 1MDB meluas, bukankah itu bermaksud saya layak untuk menganggotai PAC bagi membongkar mereka yang terlibat dengan skandal itu?

“Sepatutnya Shafee meminta PM Najib meletak jawatan sebab beliau orang yang bertanggungjawab meluluskan semua transaksi kewangan 1MDB sehingga syarikat itu berhutang RM 42 bilion,” katanya. – Roketkini.com