Isu Semasa, Rencana

Menggali kebenaran di universiti

Tanggal 29 Jun dan 7 Julai, 13 mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan dua mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) dihadapkan ke Lembaga Disiplin atas beberapa pertuduhan.

Secara ringkasnya, pertuduhan pihak universiti terhadap mahasiswa UKM adalah atas tindakan berani menjunjung kebebasan yang menjadi nadi institusi keilmuan dan demi membela kebajikan mahasiswa.

Walaupun program tidak mendapat kelulusan, diistilahkan “haram” sepertimana di UIAM apabila wacana ilmiah membicarakan isu GST diharamkan pada saat akhir, adakah kesalahan besar apabila mahasiswa bangkit secara kolektif menuntut masalah air di UKM diselesaikan?

Secara keseluruhannya, mahasiswa berkumpul untuk melihat kebebasan akademik kembali mekar di universiti-universiti tempatan. Kami tidak mahu menjadi sekadar “penghafal teori dan zombi akademik” keluaran universiti.

Sekarang, 13 mahasiswa UKM dan dua mahasiswa UIAM menjadi mangsa baru kerakusan kuasa pihak universiti.

Presiden PMUKM dan Presiden SRC UIAM, Sallehudin dan Hanif Mahpa antara yang bakal dikenakan tindakan atas kesalahan menganjurkan program yang kononnya “haram”.

Apabila membahaskan tentang ilmu, the ultimate aim pastilah mendapatkan kebenaran. Ini adalah tugas hakiki yang diperakui sarjana sejak zaman berzaman.

Bagaimanapun tidak terbatas menjadi tanggungjawab universiti semata-mata, mahasiswa juga ada peranannya.

Sekiranya asas sebuah universiti tidak dihayati dengan baik maka universiti sebenarnya melatih robot yang tidak mempedulikan kebenaran, tetapi hanya menerima apa yang diprogramkan dan bertindak balas sebagaimana dimahukan pihak berkuasa..

John Henry Newman, dalam siri syarahannya yang dibukukan dengan tajuk The Idea of A University (1851), menjelaskan pendidikan mesti membolehkan kebenaran mudah difahami.

Sekiranya sesuatu yang praktikal perlu dimasukkan sebagai subjek universiti, ia mesti melatih pelajar menjadi anggota masyarakat yang baik.

Dengan pendidikan, seseorang secara sedar dan jelas dapat memahami pandangan dan membuat penilaian sendiri, kebenaran dalam membangunkannya, kemahiran meluahkannya dan daya untuk melaksanakannya.

Ia mengajar melihat sesuatu sebagaimana sepatutnya, menuju kepada perkara yang betul, merungkai simpulan pemikiran bagi mengesan yang rumit dan membuang yang tidak berkenaan.

Profesor Awang Had Salleh misalnya, dalam satu syarahan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sekitar dua dekad lalu, menjelaskan tugas utama universiti ialah menemukan kebenaran dan memperbaharuinya.

Sudah tentu, untuk menemu dan memperbaharui kebenaran ini, sebuah persekitaran terbuka dan bebas diperlukan dan berlangsung dalam konteks penyampaian ilmu, kajian atau pembacaan, malah perdebatan idea dan pemikiran.

Bagaimanapun, ia tidak dapat berlaku dengan baik sekiranya ada kawalan dengan objektif berbeza, mengutamakan kepentingan politik atau tokoh tertentu.

Kawalan yang dikenakan sampai menentukan apa yang boleh atau tidak boleh diajar seseorang pensyarah, apa yang boleh dibaca atau dimiliki mahasiswa dan dengan siapakah mereka boleh berurusan.

Selalunya, kebebasan akademik akan terpalit dengan persoalan politik. Dalam maksud lain, pensyarah dan mahasiswa sebenarnya mempunyai kebebasan lain, namun tidak kepada sesuatu berkaitan politik (baca: kekuasaan).

Tidak keterlaluan untuk disimpulkan semua kekangan yang dikenakan sepertimana ke atas rakan-rakan UM8, UKM13 dan UIA2 bermotif politik.

Berdasarkan pengalaman peribadi menjawat Presiden PMUM sangat ketara. Hipokrasi pimpinan politik dan ahli akademik sangat mudah boleh ditunjukkan.

Cakap-cakap bahawa mahasiswa perlu mengutamakan pelajaran hanya sembang kosong.

Apakah mereka fikir menggantung pengajian mahasiswa boleh menjadikan pelajar cemerlang? Adakah Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor HEP berasa sungguh hebat dan berkuasa? Mereka bekerja untuk mahasiswa atau kerajaan?

Oleh itu rejuvenasi autonomi dan peranan universiti perlu dilakukan dalam segenap aspek agar nilai sebuah universiti tidak dirobek dek perbezaan ideologi dan penguasaan pihak tertentu dalam sistem pendidikan.

Bahkan mahasiswa perlu konsisten menyatakan pendirian bahawa kita dituntut mencari kebenaran dan peranan kita di universiti adalah untuk meneroka dan menggali kebenaran itu dengan apa cara sekalipun.

Mohamad Ammar Atan adalah Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM)