Berita, Isu Semasa

Lagu Pasir Pak Samad raikan OKZ Perak

Sasterawan Negara Datuk A Samad Said hari ini meraikan tujuh pejuang demokrasi Perak yang baru dibebaskan dari penjara dalam majlis berbuka puasa di Manjung sebentar tadi.

IMG-20150627-WA0015Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Pak Samad ditemani Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dan Penasihat DAP Perak merangkap Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham.

Bekas tahanan itu yang digelar OKZ (Orang Kena Zalim) ditahan dan dihukum penjara 10 bulan kerana terbabit dalam bantahan rampasan kuasa daripada kerajaan Pakatan Rakyat pada 2009.

Tujuh OKZ tersebut – temrasuk satu-satunya tahanan wanita – hadir bersama keluarga masing-masing.

Di majlis itu juga Pak Samad membacakan tulisannya yang istimewa:

 

LAGU PASIR

Jalan bersama Waibi Kit Siang
di Pasir Tumboh di suatu petang
cepat terimbas papan dan paku
palang jendela dan ensel pintu

Petang sejarah langit yang lusuh
waktu unggas menghindari ribut
gema guruh di ufuk nan jauh
mengerdip kisah banjir yang kalut

Di Pasir Tumboh letih dan mengah
mereka julang panji maruah
sementara pondok dipulihkan
watikah qalbu pun dimasyurkan

Rakyat menjulang panji negara
sesasa hasrat seakrab hati
rumah gantian comel dan mesra
tekun, tenang mereka baiki

Jalan di sisi saudara Kit Siang
menjengah sejarah Pasir Tumboh
obor cecita makin benderang
memulai impian yang utuh

Ikhlas dikibar panji negara
tulus dibisik idaman bangsa
Impian Kelantan pun bermula
setasik rindu, selaut cinta.

26 Jun 2015 A. SAMAD SAID