Berita

Sarawak perlu PBT baru

KUCHING, 28 JUN: Kerajaan negeri Sarawak perlu menubuhkan sebuah lagi pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menampung pentadbiran kerajaan tempatan, terutamanya di daerah Kuching.

Setiausaha Publisiti DAPSY Petrajaya, Abdul Aziz Isa berkata, kawasan seliaan Majlis Perbandaran Padawan (MPP) terlalu luas menyebabkan pengendalian pengurusan sampah, perparitan, jalanraya, keselamatan dan rukun tetangga semakin kurang efisien.

Menurutnya, MPP bersempadan dengan daerah Lundu, Bau, Samarahan dan Serian, selain erdapat enam kawasan pembangunan seperti MJC, BatuKawah, Matang, Kota Sentosa, Padawan dan Siburan.

“Terdapat beberapa kawasan lain yang membangun seperti Beratok, Tapah, Genesis, Seratau, Batu Kitang dan Stapok.

“Cukai pintu dikutip setiap tahun, namun khidmat untuk kawasan di sekitar Matang dan MJC tidak begitu memuaskan.

“Masalah ini sudah dibawa oleh wakil rakyat DAP dalam setiap Persidangan DUN Sarawak namun tidak banyak dilakukan MPP untuk menyelesaikan masalah,” kata Aziz dalam satu kenyataan.

Malah katanya, masih terdapat beberapa kawasan di sekitar Kuching yang tidak memiliki balai polis, antaranya di Matang.

“Penduduk terpaksa pergi jauh ke Balai Polis Batu Kawah.

“Kawasan ini memerlukan satu IPD baru kerana IPD Padawan terpaksa menjaga kawasan dengan saiz amat besar berkepadatan penduduk melebihi 400,000 orang.

“Untuk memohon sesuatu permit, penduduk terpaksa pergi ke IPD Padawan yang terletak di Siburan, 25 batu (40 kilometer) jaraknya dari Matang,” kata Aziz.

Penyelia Pusat Khidmat DAP Tupong itu turut mencadangkan kerajaan negeri mendesak Pusat memberi kuasa kepada Sarawak untuk mengendalikan semula Pilihanraya Kerajaan Tempatan.

“DAP tidak kisah untuk membantu penduduk, namun persoalannya, ke mana pergi Ahli Majlis yang dilantik dan diamanahkan oleh kerajaan negeri?

“Ini yang berlaku jika Ahli Majlis bukan dipilih oleh rakyat melalui Pilihanraya Kerajaan Tempatan,” kata Aziz. – Roketkini.com