Berita, Isu Semasa

Siasatan MARA SPRM dibayangi misteri Beng Hock

KUALA LUMPUR, 29 JUN: “Jika benar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) sebuah badan berintegriti, mengapa kes kematian Teoh Beng Hock sehingga kini tak dapat diselesaikan?” soal Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Menurut beliau, tidak ada gunanya Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) mengeluarkan kenyataan berlagak baik bahawa SPRM perlu diberi ruang untuk menjalankan siasatan penuh dan menyeluruh terhadap skandal pembelian hartanah MARA di Australia.

teoh-beng-hock-32“Bulan depan adalah ulang tahun kematian keenam Teoh Beng Hock yang kehilangan nyawanya di Ibu Pejabat SPRM Selangor di Shah Alam pada 16 Julai 2009. Sehingga kini tidak ada pegawai SPRM yang dihukum.

“Jika SPRM tidak dapat memastikan bahawa pegawainya menjunjung tinggi integriti dan akauntabiliti dalam kematian Beng Hock, tidak peliklah keyakinan orang ramai terhadap komitmen mereka melancarkan perang habis-habisan menentang rasuah hampir tidak wujud,” katanya dalam kenyataan.

Kelmarin, LPPR dilaporkan berkata pihaknya mempunyai keyakinan tinggi bahawa SPRM akan menjalankan siasatan berhubung isu pembelian hartanah MARA di Australia dengan bebas, telus dan profesional.

Kata badan itu, SPRM dari semasa ke semasa sentiasa memaklumkan perkembangan kes yang disiasat khususnya yang berprofil tinggi dan berkepentingan awam.

Dakwa LPPR lagi, mereka percaya tidak timbul isu SPRM cuba menutup mana-mana kes yang disiasat termasuk dalam skandal melibat MARA ini.  – Roketkini.com