Berita

Shabery Cheek tak perlu takut, debat saja dengan Tony Pua di televisyen

KUALA LUMPUR, 30 JUN: DAP mempelawa Datuk Ahmad Shabery Cheek untuk berdebat secara terbuka di kaca televisyen dengan Tony Pua bagi membuktikan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu menerima sokongan rakyat dalam usahanya menuntut ketelusan dan akauntabiliti skandal 1MDB.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang membuat tawaran itu kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia tersebut yang telah menyuarakan bantahannya terhadap keanggotaan Tony dalam Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Menurutnya, Shabery telah memalukan dirinya sendiri apabila menunjukkan rasa takut kepada Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, dengan membuat kecaman tidak berasas terhadap pemimpin DAP tersebut.

Shabery dipetik oleh media sebagai berkata bahawa Tony perlu menarik diri daripada PAC kerana sering mengkritik kerajaan dalam isu 1MDB, dan menambah: “Parti dia (DAP) patut malu, orang yang menyokong dia patut malu orang yang dikaitkan dengannya patut malu. Mereka bercakap perkara besar tetapi perkara asas sebegini tidak tahu kendalikan. Dia patut keluar daripada PAC kerana bukan saja memalukan PAC tapi sistem Parlimen.”

Kit Siang mempersoalkan sama ada Shabery serta Perdana Menteri Najib Razak terlalu takut kepada Tony sehingga mahu menendang beliau keluar dari PAC yang mahu menyoal siasat 1MDB atas masalah yang berlaku.

“Adakah (kerajaan BN) terlalu takut kepada Tony sehingga mahu membuang beliau dari PAC, walaupun ini adalah bertentangan dengan semua peraturan, amalan dan prosedur Parlimen, di samping memberi isyarat yang paling negatif serta bahaya kepada semua rakyat Malaysia?” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah bahawa Tony sendiri telah menjelaskan bahawa BN tidak perlu takut dengan dirinya seorang kerana ada 8 Ahli Parlimen BN dalam PAC. – Roketkini.com