Berita

Sambut Hari Raya bersama Optimus Prime, Bumblebee di Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 2 JULAI: Para peminat Transformers kini berpeluang untuk menemui Optimus Prime and Bumblebee dalam satu pameran di Padang Kota Lama (Esplanade), Pulau Pinang mulai 10 Julai ini.

Pameran ruang luar terbesar di Asia Tenggara itu, “Calling All Autobots” akan diadakan selama lebih dua bulan, iaitu 10 Julai hingga 17 September, khususnya sebagai daya tarikan pelancongan sepanjang musim sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Menurut kenyataan Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, para peminat siri kartun, filem and figura Transformers tidak boleh melepaskan peluang istimewa itu untuk melihat sendiri gergasi Optimus Prime setinggi 9.14 meter (30 kaki) dan Bumblebee 6.1 meter (20 kaki).

Para peminat juga boleh mengambil gambar dan selfie bersama Autobots itu dengan percuma.

Di sebelah malamnya pula, pertunjukan cahaya laser dan kesan bunyi di tapak pameran itu akan diadakan sepanjang tempoh pameran.

Bagi para peminat setia yang ingin menyaksikan bersama pelancaran pameran, mereka dijemput hadir di Padang Kota Lama pada lewat petang 10 Julai.

Keesokannya pameran bermula setiap hari dengan waktu lawatan 12 tengah hari hingga 12 tengah malam (Isnin hingga Jumaat) dan 9 pagi hingga 12 tengah malam (Sabtu dan Ahad).

Dengan adanya kedua-dua pahlawan Autobots itu, tentu kumpulan jahat Decepticons tidak akan berani bertandang ke Esplanade sepanjang pameran tersebut.

Pameran ini dibawakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan sokongan Penang Global Tourism dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang serta pemilik lessen Hasbro, Inc dan pemegang lessen i2 Promotions Sdn Bhd. – Roketkini.com