Berita

DAPSY terima pandangan Anak Muda, sedia untuk dialog

KUALA LUMPUR, 3 JULAI: Ketua Sosialis Muda DAP (DAPSY), Teo Kok Seong, menerima baik pandangan dan cadangan mewujudkan kerajaan alternatif yang lebih baik yang dikemukakan oleh kumpulan Anak Muda yang diwakili oleh 146 aktivis.

Beliau berkata, sejak kewujudan Pakatan Rakyat, DAPSY bersama badan induknya DAP memang selama ini berpegang kepada segala yang termaktub dalam Dasar Bersama,yang dimeterai dalam Buku Jingga pada 2008.

“Kami juga mengambil kira bahawa mandat rakyat pada pilihanraya umum ke-13 yang lalu adalah berdasarkan segala yang dijanjikan oleh Pakatan Rakyat pada ketika itu.

“Cadangan-cadangan yang dikemukakan dalam kenyataan Anak Muda memanglah amalan DAP selama ini, iaitu DAP berpegang kepada prinsip dan bertanggungjawab kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pakatan Rakyat – gabungan tiga parti PAS, PKR dan DAP – sudah tidak wujud lagi berikutan keputusan sebulat suara Muktamar PAS awal bulan lalu untuk memutuskan hubungan dan kerjasama dengan DAP.

Semalam sekumpulan 146 aktivis muda Malaysia telah mengemukakan tuntutan mengenai perlunya sebuah kerajaan yang alternatif, dengan menggariskan tiga asas utama:

* Gabungan baru demi rakyat;
* Prinsip kerjasama yang lebih tegas; dan
* Gabungan yang benar-benar inklusif.

Menurut Kok Seong yang juga Ahli Parlimen Rasah, DAPSY menolak mana-mana pihak yang cuba membelakangi kepentingan rakyat serta melupakan janji-janji kepada rakyat selepas pilihanraya.

“Kami bersedia untuk bertemu atau berdialog dengan Anak Muda yang prihatin kepada keadaan politik terkini serta kebajikan rakyat,” tambah beliau. – Roketkini.com