Isu Semasa, Rencana

Puasa seorang mukmin

Adakah Melayu bangsa peminta? Kita suka meminta-minta, tidak cukup dengan jadi peminta sedekah, minta kerajaan macam-macam, kita minta pula orang lain menghormati kita dengan turut “berpuasa”. “Stigma subsidi” seolah-olah telah melekat dalam diri, sedangkan Islam mengajar kita untuk memberi. Di waktu yang lain, kita menyembelih lembu dan makan daging di hadapan masyarakat Hindu. Atau berasa jijik dengan babi, sedangkan itu makanan orang lain. Tetapi bila Mat Saleh mengutuk bau busuk durian, kita pula lekas mengamuk.

Malah, tidak sedikit mereka yang berbangga bila orang bukan-Islam terpaksa makan secara sembunyi-sembunyi atau perlahan-lahan kerana bimbang menyinggung iman orang Islam. Adakah ini satu perbuatan yang waras bila orang Islam begitu mudah batal puasa kerana melihat makanan? Jika demikian halnya, mengapa tidak diharamkan daripada menayang Ketuk-ketuk Ramadan yang menghidang makanan yang meliurkan atau rancangan TV lain yang memaparkan lakonan makan di restoran-restoran dan hotel-hotel?

Tidak cukup dengan itu, kita tidak mampu menahan nafsu sendiri, kita meminta pula orang lain menutup aurat; “Non-Muslims should dress more “appropriately” in public places out of “respect” for Muslims who will sin upon seeing people, including non-Muslims, who do not cover their “aurat”,” Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria. (Malay Mail Online).

Inikah pesan toleransi yang cuba disampaikan oleh agama majoriti rakyat Malaysia yang syumul ini? Kembali kepada asas beragama, bukankah tiada paksaan dalam agama? Dan kita sebagai masyarakat Islam entah disengajakan atau tidak telah memaksakan amalan beragama kita ke atas orang bukan-Islam. Toleransi tidak berlaku bila terdapat persamaan tetapi persefahaman atas perbezaan. Bukan bila setiap kaum makan pada waktu yang sama tetapi bila setiap kaum mampu menghormati perbezaan yang ada.

Menyentuh rukun Islam ketiga ini iaitu berpuasa selama sebulan di bulan Ramadan, apa ertinya Ramadan? Bulan Ramadan menandakan umat Islam dituntut berpuasa dan meraikan kemenangan melawan hawa nafsu menjelang 1 Syawal. Ramadan yang dikenali sebagai bulan imtihan iaitu bulan ujian – di mana setiap mukmin itu diuji imannya daripada perkara yang boleh membatalkan puasa. Ringkasnya, Ramadan bukan ingin mengajar orang yang tidak berpuasa, tetapi orang yang berpuasa. Tidakkah kita pelik bila seorang yang bergelar mufti memberi pesanan yang terbalik – sedangkan maksud puasa (sawm) itu menahan diri (sendiri) dari segi fizikal dan rohani.

Berpuasa secara harfiahnya, menahan diri daripada makan dan minum di siang hari. Puasa seorang mukmin itu harusnya melatih masyarakat beragama Islam menguatkan akidah, ketahanan diri dengan bersabar dan mengajar kita untuk tidak bersikap sombong dengan menteladani kehidupan mereka yang serba kekurangan. Namun, pada hari ini bukan-Islam nyata lebih memahami pengertian Ramadan Kareem serta mengimani rukun Islam ketiga.- Roketkini.com