Rencana

Elak pilih kasih apabila tangani isu kaum dan agama

Kemajmukan Malaysia merupakan keunikan negara kita. Kepelbagaian khazanah kebudayaan, kesenian, bahasa, agama , makanan dan sebagainya merupakan identiti negara yang dibanggakan sejak kemerdekaan lagi. Persefahaman dan sikap toleran yang diamalkan oleh rakyat negara kita selama ini telah menjamin keamanan dan kesejahteraan.

Kebelakangan ini terdapat banyak anasir-anasir yang sentiasa dan sengaja membangkitkan isu-isu sensitif yang melibatkan perkauman dan agama. Isu-isu yang dibangkitkan itu menimbulkan perasaan marah dan kebencian dikalangan masyarakat Malaysia. Ada puak-puak ekstrimis yang mahu membangkitkan isu-isu seperti ini untuk kepentingan mereka.

Saya rasa kecewa dengan kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak kerana gagal mengawal perkara ini. Kekerapan kes melibatkan  perkauman dan agama semakin meningkat. Jikalau perkara ini dibiarkan maka ini boleh menimbulkan ketegangan antara kaum. Keretakan yang telah wujud ini adalah amat bahaya dan boleh mengakibatkan perpecahan kaum.

Saya terpaksa menyalahkan kerajaan kerana sikap double standard dalam menangani kes-kes berkaitan dengan isu perkauman dan agama. Kerajaan mengambil sikap tidak peduli apabila isu-isu sensitif itu dibangkitkan oleh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional dan puak-puak yang berkaitan dengannya. Tetapi, apabila isu-isu sensitif disentuh oleh pihak pembangkang, maka tindakan segera diambil terhadap mereka.

Inilah menyebabkan sistem keadilan negara kita semakin runtuh dan tidak dihormati lagi. Orang ramai tidak akan mempercayai kerajaan yang sentiasa mengamalkan sikap double standard apabila menilai di antara pihak kerajaan dan pihak pembangkang. Rakyat juga tahu bahawa pihak pembangkang sentiasa dimangsakan dalam isu-isu sensitif seperti ini.

Walaupun terdapat banyak kes yang melibatkan isu-isu sensitif perkauman dan agama, bukan semuanya telah dilaporkan. Banyak juga kes-kes yang tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Sejak tahun 2014 pihak polis telah membuka 55 kertas siasatan berkaitan dengan isu perkauman dan agama di seluruh negara. Daripada jumlah  itu, 20 kes melibatkan isu perkauman dan baki 35 kes pula melibatkan isu agama.

Setakat ini hanya 4 kes perkauman dan 4 kes agama dituduh di mahkamah. Ini bermakna dalam tempoh berkenaan hanya 10% kes-kes sensitif ini telah dibawa ke muka pengadilan secara pilih kasih. Yang selebihnya akan dibiarkan begitu sahaja?

Jika inilah sikap kerajaan kita, keharmonian yang dicita-citakan oleh rakyat kita akan menjadi sia-sia. Kerajaan tidak boleh mengamalkan sikap pilih kasih dalam isu perkauman dan agama yang boleh menghancurkan negara. – Roketkini.com

 

* Penulis adalah Ahli Parlimen Batu Gajah merangkap Timbalan Pengerusi DAP Perak