Berita, Isu Semasa

Najib masih belum akui atau nafi RM2.6 bilion masuk ke akaun peribadinya

KUALA LUMPUR, 10 JULAI: Rakyat Malaysia perlu adil kepada Datuk Seri Najib Razak atas prinsip “tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah”, tetapi pada masa yang sama Perdana Menteri juga perlu adil kepada rakyat Malaysia dengan mengakui atau menafikan segera skandal-skandal kewangan yang dikaitkan dengan dirinya.

Demikian kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang apabila mengulas kenyataan Najib semalam yang meminta rakyat supaya tidak mendengar “dakwaan karut” dari media sosial tentang diri beliau dan keluarganya.

Selama ini apabila ditanya sama ada hampir RM2.6 bilion (USD700 juta) wang yang dikatakan mempunyai kaitan dengan 1MDB dimasukkan ke dalam akaun peribadinya, seperti mana yang dilaporkan oleh media antarabangsa Wall Street Journal, Najib tidak pernah mengakui atau menafikannya.

Jawapan beliau yang sentiasa diulang-ulang adalah “saya tidak pernah mengambil dana 1MDB untuk kepentingan diri sendiri”, tanpa mengesahkan sama ada wang yang didakwa tersebut dimasukkan ke dalam akaun beliau atau tidak.

Wang tersebut didakwa digunakan untuk kempen Barisan Nasional dalam menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 pada 2013.

Sehubungan dengan itu, Kit Siang mahu Najib mendengar nasihat pemimpin UMNO veteran Tun Musa Hitam semalam supaya beliau bercuti sebagai Perdana Menteri untuk membolehkan siasatan terhadap skandal-skandal yang dikaitkan dengan diri Najib dapat dilaksanakan dengan adil.

“Nasihat Musa itu selaras dengan prinsip ‘tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah’ dan ini memang tepat untuk Najib,” ujarnya.

Beliau menambah bahawa jika Perdana Menteri tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan atau jika rasa tidak bersalah, Najib juga patut menerima cadangannya supaya Tun Dr Mahathir Mohamad mempengerusikan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat skandal 1MDB, dengan disertai Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dan Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli sebagai para pesuruhjayanya. – Roketkini.com