Berita

Pintu DAP sentiasa terbuka untuk Melayu yang mahu kepada Impian Malaysia

JOHOR BAHRU, 12 JULAI: DAP akan menggandakan usaha untuk menerima kehadiran orang Melayu yang berjiwa demokrat menyertai perjuangan Malaysia untuk rakyat Malaysia.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, sebagaimana pintu DAP terbuka untuk kaum Cina, India, Kadazandusun dan Iban yang mahu kepada Impian Malaysia, pintu DAP juga sentiasa terbuka kepada orang Melayu yang mahu berkongsi Impian Malaysia.

Katanya, DAP mahu berkongsi Impian Malaysia bersama semua rakyat, termasuk orang Melayu, atas dasar ia adalah cita-cita untuk menjadikan rakyat lebih bersatu, inklusif, progresif, adil dan makmur.

“Saya berharap untuk melihat lebih ramai orang Melayu berjuang bersama DAP berganding tangan dengan orang Cina, India, Iban dan Kadazandusun, tanpa mengira kaum, agama atau wilayah, bagi mencapai cita-cita Malaysia.

“Cita-cita Malaysia adalah harapan di mana kita sama-sama boleh berbangga dengan pentadbiran baik yang mampu menjamin hak politik, ekonomi, pendidikan, sosial, budaya dan kerakyatan yang adil, dan di mana kebebasan demokratik, kemajuan ekonomi, jaminan keselamatan peribadi, hak asasi dan penjagaan alam sekitar menjadi agenda utama kerajaan semasa,” ujar beliau di majlis berbuka puasa di Kampung Pendas Laut, Gelang Patah dekat sini malam tadi.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, setelah hampir lima dekad, DAP tetap berpegang kepada matlamatnya untuk menjadi parti kepada semua rakyat Malaysia, dan bukan parti kepada kaum Cina atau India sahaja, walaupun DAP mempunyai lebih ramai wakil rakyat berbanding MCA atau MIC.

Menurutnya, selepas pilihanraya umum ke-13 pada 2013, DAP mempunyai enam Ahli Parlimen dan 13 ADUN dari kaum India mewakili Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang.

Sebaliknya, MIC hanya mempunyai empat Ahli Parlimen dan lima ADUN walaupun tiada siapa akan tahu berapa ramai lagi Ahli Parlimen dan ADUN MIC yang akan tinggal selepas krisis dalaman yang sedang dialami oleh parti itu sekarang, tambah beliau.

Menurut Kit Siang lagi, selepas PRU13, DAP mempunyai 30 Ahli Parlimen dan 89 ADUN dari kaum Cina yang mewakili 10 daripada 13 negeri di Malaysia – jauh lebih ramai daripada MCA yang hanya tinggal menjadi “parti 7-Eleven”, iaitu tujuh Ahli Parlimen dan 11 ADUN, manakala Gerakan cuma tinggal dua Ahli Parlimen dan tiga ADUN.

“Tetapi DAP bukan parti kaum India, dan DAP bukan parti kaum Cina. Sejak awal lagi sewaktu penubuhan DAP hampir 50 tahun lalu, DAP telah berikrar untuk menjadi parti rakyat Malaysia yang bersungguh-sungguh mahu memenuhi perjuangan semua rakyat, tanpa mengira kaum, agama atau wilayah,” jelas beliau.

Beliau berkata, inilah sebabnya DAP menjadi parti politik seMalaysia untuk semua rakyat Malaysia yang pertama.

Inilah juga sebabnya mengapa sejak PRU kali pertama yang ditandingi oleh DAP pada 1969, DAP telah meletakkan calon pelbagai kaum, dan telah mempunyai Ahli Parlimen dan ADUN dari kalangan orang Melayu, tambah beliau. – Roketkini.com