Budaya

LPF penjaga imej kerajaan, rakyat sekadar sinikal

Dengan kualiti filem sedia ada, yang tidaklah begitu mengujakan, Lembaga Penapisan Filem (LPF) merasakan mereka perlu perhalus garis panduan penapisan filem dengan mengeluarkan garis panduan terbaru melalui pekeliling bertarikh 23 Jun 2015. Pekeliling itu merupakan penjelasan terperinci terhadap Garis Panduan Penapisan Filem 2010. Ia dikenakan kepada filem produksi tempatan yang disiarkan di stesen TV dan mula berkuatkuasa pada 15 Jun 2015.

Pendekatan penapisan LPF sebelum ini lebih mengikut tafsiran. Tidak jauh beza temanya, cuma kali ini ia dalam bentuk tulisan. Apa yang boleh dan tidak boleh dimuatkan dalam filem kini dinyatakan dengan jelas.

Garis panduan itu dikategorikan kepada 10 elemen, dengan keputusan penapisan “potong” atau “tiada potongan” mengikut filem berbahasa Melayu, Cina, Tamil, atau Inggeris. Secara ringkas, antara lain ia menetapkan:

1) Semua jenis filem tak boleh ada unsur seks atau lucah
2) Tak boleh ada adegan rogol atau penderaan
3) Tak boleh papar logo atau lambang politik
4) Tak boleh kritik kerajaan
5) Tak boleh ada adegan rasuah
6) Tak boleh ada adegan bercakap dengan jin atau saka, atau membaca mantera
7) Pelakon memakai pakaian sopan dan melakonkan watak yang sopan
8) Tak boleh langgar undang-undang kecuali untuk watak jahat dan sebelum filem tamat watak itu mendapat balasan.

Ada beberapa hal yang mengelirukan seperti larangan adegan minum arak hanya dikenakan kepada filem berbahasa Melayu (yang lain dibenarkan dengan syarat “minum tak mabuk dan bertindak liar”). Maknanya, semua bangsa lain minum arak kecuali Melayu. Kita masih bercakap dalam konteks sebuah drama TV. Bererti, pengarah filem jangan nak tunjuk kreatif cari botol hijau dan isi dengan air teh untuk Aaron Aziz minum.

Begitu bersemangatnya LPF, turut disenaraikan semua perkataan lucah/kesat dalam dalam bahasa Mandarin, Kantonis, Hokkien, Teochew, Tamil, Hindi, malah Telugu!

Dengan tajuk berita seperti “Tiada Lagi Adegan Peluk Cium Dalam Drama TV” dengan mudah tindakan LPF itu akan meraih sokongan ramai terutamanya ibu-bapa yang risau anak-anak kesayangan mereka yang belum cukup umur melihat adegan cumbu asmara di kaca TV lalu terlibat dalam maksiat.

Mereka adalah ibu bapa yang sibuk bekerja untuk tampung kos hidup yang tinggi dengan pelbagai cukai, yang tak ada masa untuk diluangkan kepada anak mereka untuk beri konteks. Garis panduan ini memberi makna yang besar; anak-anak mereka terselamat dari keruntuhan akhlak.

Sekali imbas, LPF tak ubah seperti mana-mana organisasi skema yang melihat dirinya sebagai ‘linesman’ budaya. Organisasi seperti LPF terus wujud kerana sokongan daripada manusia yang kabur garis moralnya, yang gagal melihat bahawa fitnah, rasuah, dan perkauman jauh lebih memudaratkan berbanding semua perkataan lucah dalam semua bahasa.

Dan alang-alang diberi kepercayaan, LPF bukan hanya mengangkat bendera moral tapi juga menjadi penjaga imej kerajaan. Larangan adegan rasuah yang dikategorikan sebagai mengkritik kerajaan ketika pemimpin nombor satu negara dikaitkan dengan skandal rasuah adalah satu kebetulan yang meragukan. Pengerusi LPF Datuk Abdul Halim Abdul Hamid dipetik berkata: “Kita memang tidak boleh membenarkannya kerana ia termasuk dalam imej kita. Ia boleh bawa imej buruk kepada kerajaan”.

Filem yang ditayangkan stesen TV tempatan sudah lama hilang fungsinya sebagai cermin yang menggambarkan cebisan realiti masyarakat, kini jatuh pula statusnya sebagai alat propaganda mempertahankan status quo!

Jika betul-betul mengikut garis panduan itu, filem allahyarham P Ramlee yang diulang siar di TV tak akan lepas penapisan LPF. Gerak Khas yang dikatakan filem ideal propaganda sekali pun akan melalui proses suntingan. “Beruntung kita duduk di Malaysia ni, walaupupun kita gengster kita boleh dapat BR1M” akan jadi dialog watak ketua gengster yang akan dilakonkan oleh Corrie. Apa punya jenis gengster yang cakap macam tu? Sambil minum air sirap di warung tom yam?

Pendekatan LPF terhadap garis panduan filem bersifat ‘lepas tangan’. Mereka tak mahu berdepan dengan ibu bapa yang risau anaknya menonton pornografi di kaca TV (walaupun satu ketika dulu klip video lucah “pemimpin politik” ditayangkan di Buletin Utama), dalam masa sama LPF tidak mahu ditekan oleh golongan karyawan yang menghasilkan karya-karya yang menyentuh sensitiviti walaupun selalunya ia tidaklah begitu kritikal dan sekadar ‘lesen berseni’.

Dan sudah tentu LPF tak mahu menyinggung perasaan mana-mana pihak di Putrajaya. Maka terhasillah garis panduan yang akan memastikan semua filem mempunyai skrip sama; “Anak gadis bertudung dari kampung datang ke kota berjumpa pemuda tampan kaya raya dan mereka saling mencintai tapi dihalang oleh Tan Sri dan Puan Sri. Satu hari Tan Sri dan Puan Sri insaf setelah pulang dari Mekah dan merestui hubungan itu. Mereka hidup bahagia selama-lamanya.”

Ada pelbagai persatuan dalam industri filem tapi kita tidak melihat dialog atau perbincangan dua hala yang kritikal untuk mencari sepakat dalam meningkatkan mutu filem. Di media-media sosial, tidak kurang sinikalnya respon terhadap garis panduan ini termasuklah dari pengarah filem, pelakon, dan mereka yang terlibat dalam industri filem.

Sinikal, itu saja kemampuan yang dimilik rakyat Malaysia keseluruhannya. Kita sinikal dengan satu-satu isu tapi mandul untuk terjemahkan idea itu kepada tindakan. Jujur saja kepada diri sendiri, bahawa tak ada sesiapa betul-betul peduli jika adik-adik tak cukup umur menonton apa yang dikatakan mereka tak sepatutnya tonton. Penulis skrip menulis skrip, pengarah terbitkan filem, pelakon melakonkan watak, dan pada hari hujan dan mesej “services currently not available” tertera di TV, rakyat Malaysia akan mengalih siaran kepada stesen TV tempatan. Mereka akan mendapati apa yang mereka tonton sepuluh tahun lepas, lama sebelum garis panduan LPF itu dikeluarkan, tak jauh beza dengan apa yang mereka akan tonton selepas ini. Cuma sedikit lebih membosankan.- Roketkini.com