Berita, Isu Semasa

DAP “cauvinis” kerana mahu rakyat diberi hak mengundi di peringkat akar umbi?

 

KUALA LUMPUR, 15 JULAI: Hampir 90% daripada kesemua 148 pihak berkuasa tempatan di Malaysia adalah kawasan majoriti orang Melayu. Tetapi pucuk pimpinan PAS telah menuduh DAP “cauvinis” kerana menuntut pilihanraya tempatan diadakan agar rakyat, khususnya orang Melayu, mempunyai hak membuat keputusan di peringkat akar umbi.

Sehubungan itu, DAP kesal dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang disifatkan meniru fitnah UMNO dan kumpulan rasis kerana menggelar parti sosial demokrasi pelbagai kaum itu sebagai “cauvinis”.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, tuduhan Hadi menjadi lebih teruk kerana dakwaan “cauvinis” itu ditujukan terhadap usaha DAP untuk mengembalikan demokrasi di peringkat akar umbi.

“Kalau ya pun Hadi mahu mengkritik DAP, biarlah kemukakan kritikan yang ‘original’ dan kreatif, dan bukannya meniru cara propagandis dan ‘cybertrooper’ pro-UMNO yang penuh dengan fitnah dan pembohongan,” katanya dalam satu kenyataan, sebagai membalas dakwaan Hadi yang dilaporkan membuat tuduhan tersebut terhadap DAP, sebagaimana yang petik media massa pada Ahad lalu.

Malah Kit Siang turut bertanya: “Adakah Hadi benar-benar faham makna ‘cauvinis’?”

Semakan kamus memperlihatkan bahawa “cauvinis” bererti orang yang bersikap melampau terhadap kaum, agama, atau negara, iaitu bersifat fanatik dan berat  sebelah, dan memandang rendah orang lain.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah menasihatkan Hadi supaya jangan mudah percaya dengan fitnah golongan rasis kerana tuduhan kononnya DAP (baca:kaum Cina) akan menguasai kawasan orang Melayu melalui pilihanraya tempatan adalah satu pembohongan besar yang tidak masuk akal.

Katanya, alasan yang tidak masuk akal dan kurang cerdik itu tidak boleh dipakai kerana:

  1. DAP tidak menguasai 60% kawasan Dewan Undangan Negeri di Malaysia kerana Pakatan Rakyat (yang telah terbubar apabila Muktamar PAS memutuskan hubungan dan kerjasama dengan DAP) gagal memenangi lebih 50% kawasan DUN pada pilihanraya umum ke-13. Ketiga-tiga parti – PAS, PKR dan DAP – hanya menang 229 kerusi DUN atau 45% daripada kesemua 505 kerusi DUN di negara ini.
  2. DAP bukan dan tidak pernah mahu menjadi parti untuk kaum Cina atau mana-mana kaum dan agama kerana ia beriltizam sebagai parti untuk semua rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama.
  3. Usaha menghidupkan kembali pilihanraya tempatan adalah matlamat asal DAP sejak penubuhannya pada 1966, dan Kit Siang mempunyai bukti jelas tentang hal itu melalui ucapan-ucapan beliau di Parlimen sepanjang tahun 1971-74.

Beliau juga menyatakan bahawa amat rasis, berbahaya dan tidak bertanggungjawab untuk menuduh bahawa pilihanraya tempatan akan menguntungkan kaum Cina dan merugikan Melayu.

Jelasnya, proses urbanisasi dan pengstrukturan kerajaan telah menambah jumlah pihak berkuasa tempatan menjadi 148 PBT di mana 90% daripada adalah kawasan  majoriti Melayu (yang melebihi 50% Melayu), dan tidak sampai 3% kawasan majoriti bukan-Melayu, manakala 13% kawasan campuran.

Kit Siang yang pernah ditahan tanpa bicara dua kali di bawah undang-undang zalim Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) walaupun tidak pernah dibuktikan kesalahannya sehingga hari ini, turut menjelaskan bahawa tuduhan kononnya DAP adalah “komunis”, selain dikatakan “cauvinis”, kerana mahukan pilihanraya tempatan, juga merupakan hujah yang tidak munasabah.

“Adakah Hadi mahu mengatakan bahawa Presiden Jokowi, Erdogan dan bekas Presiden Ahmadinejad, atau Indonesia, Turki dan Iran itu adalah ‘komunis’ dan ‘cauvinis’ (kerana melaksanakan pilihanraya tempatan)?” soal beliau.

Menurutnya, hujah kononnya DAP melanggar Dasar Bersama Pakatan Rakyat juga tidak boleh dipakai kerana PAS tidak menentang, malah bersetuju dengan manifesto Pakatan Rakyat bagi PRU13 di peringkat nasional dan Selangor untuk mengembalikan pilihanraya tempatan.

Beliau menambah, pada Mac 2010, kedua-dua Menteri Besar Selangor dan Ketua Menteri Pulau Pinang, dalam surat yang berasingan, telah meminta Suruhanjaya Pilihanraya melaksanakan pilihanraya tempatan tetapi ditentang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, kini Hadi pula menentang pilihanraya tempatan dengan menuduh DAP sebagai “cauvinis” sedangkan ia bertujuan memberi kuasa undi kepada rakyat di peringkat akar umbi bagi meluaskan amalan demokrasi di negara ini. – Roketkini.com