Rencana

Aidilfitri meraikan nostalgia

Sekiranya bilangan radio yang kerap memainkan lagu-lagu lama boleh dibilang dengan jari, bermakna Syawal masih jauh. Justeru menjelang Syawal, secara tiba-tiba bukan hanya di radio malah sehingga ke pusat beli-belah dihujani lagu-lagu lama yang malar segar. Dari dendangan Saloma, Ahmad Jais, S. Jibeng sehinggalah Anuar Zain yang baru mendekati usia akil baligh.

Sudah tentu lagu-lagu ini dipasang untuk membangkitkan mood Raya. Setiap kali mendengar akan bergetarlah hati-hati mereka yang menyambutnya. Terkenanglah kembali kemanisan Hari Raya. Tidak kiralah sama ada yang dikenang itu keluarga, kampung halaman atau juadahnya.

Soalan yang seringkali bermain di fikiran, mengapa hanya lagu-lagu lama yang terus menjuarai carta lagu-lagu raya? Tanpa menafikan ada beberapa lagu baru turut memasuki liga lagu-lagu malar segar. Itupun masih bersandarkan muzik lama atau asli.

Jawapannya mungkin bersimpang siur. Namun rasanya tidak dapat lari daripada hakikat lagu-lagu itu menjentik nostalgia pendengar. Setiap gelombangnya membawa pendengar melalui daerah kenangan yang manis-manis atau sedih-sedih tentang Hari Raya, sebuah nostalgia.

Kalau direnung cermat, bukankah Hari Raya itu sendiri satu cubaan mengulang nostalgia. Hampir setiap ritual Hari Raya itu adalah tentang kembali ke masa lalu.

Yang sudah berhijrah ke bandar kembali ke kampung. Yang sudah jauh dari ayah dan bonda kembali bertemu mereka. Yang sudah terlajak berdosa bermaafan agar kembali pada permulaan perhubungan. Yang masih hidup menziarahi pusara mereka yang telah pergi, insan-insan yang pernah berkongsi ruang kehidupan bersama suatu masa dulu.

Nostalgia ini kuasanya kuat. Lebih-lebih lagi dalam membentuk identiti satu-satu etnik. Ambil contoh etnik Melayu. Selepas dilanggar urbanisasi kesan daripada sistem ekonomi masa kini, rata-rata tidak lagi hidup secara komune atau bermasyarakat, berkongsi segalanya dan bergotong-royong. Nafsi, nafsi; bak kata sesetengah orang.

Tiada lagi ‘masyarakat’, yang tinggal hanyalah etnik. Maka apakah yang boleh menjadi tapak dasar kepada satu-satu etnik tanpa benar-benar hidup bersama, selain budaya dan adat? Tentulah nostalgia.

Nostalgia mengikat setiap individu kepada masa lalu lantas melahirkan rasa kebersamaan. Kebersamaan yang setiap individu tidak lagi dapat rasai melalui kehidupan bersama dek sudah pupusnya ‘kemasyarakatan’.

Namun nostalgia juga boleh menjadi senjata berbahaya dalam membentuk imaginasi satu-satu etnik. Nostalgia boleh jadi alat membangkit rasa tidak puas hati dengan masa kini sehingga sanggup meruntuh masa depan.

Pertembungan etnik boleh berlaku melalui nostalgia-nostalgia tentang kekuasaan, sehingga etnik tertentu merasa tidak lagi berkuasa, membawa kepada rasa tertindas. Ditindas siapa? Sasaran mudah tentulah oleh ‘yang selain dirinya’. Lalu terpupuk kebencian dan permusuhan.

Aidilfitri adalah hari meraikan nostalgia. Syukur, Aidilfitri hanya cuba menggapai nostalgia-nostalgia bahagia. Malah mungkin juga satu cara manusia melepaskan diri dari sumpahan rutin hidup yang berulang.

Maka raikanlah nostalgia manis-manis. Tentang kekeluargaan, kasih sayang, pengorbanan, kegembiraan, kebersamaan. Selesai nanti ambil masa merenung, bagaimana seharusnya menghadapi nostalgia yang melahirkan kepahitan, dengan semangat membina dan bukan meruntuhkan. – Roketkini.com