Berita, Isu Semasa

Mesej Aidilfitri 2015: Selamatkan Malaysia

KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Anwar Ibrahim kini berada di dalam penjara Sungai Buloh. Siapakah yang dapat menyatukan rakyat untuk menyelamatkan Malaysia?

Dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri 2015, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang membawa persoalan sama ada dapat diwujudkan satu suara dengan sekurang-kurangnya 112 Ahli Parlimen (daripada keseluruhan 222 Ahli Parlimen) untuk menyelamatkan Malaysia daripada kepimpinan yang semakin teruk dilanda krisis.

Beliau merencanakan suara menyelamatkan Malaysia itu sebagai langkah membawa perubahan besar terhadap pentadbiran negara sebelum pilihanraya umum ke-14 diadakan, dengan melantik pemangku Perdana Menteri dan Kabinet sementara.

“Ini bukanlah satu usaha yang mudah kerana sudah ada dua pemimpin parti pembangkang yang tidak sehaluan. Mereka menyokong Perdana Menteri, lebih daripada sokongan yang Datuk Seri Najib Razak terima daripada parti dan barisan gabungannya sendiri.

“Namun, tidak ada cabaran yang lebih besar daripada transformasi politik ini untuk semua rakyat Malaysia yang menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, sambutan hari raya tahun ini agak berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya, khususnya menjelang Syawal apabila Ramadan dipenuhi dengan pelbagai kejadian.

Antaranya kejadian tersebut, jelas beliau, adalah skandal 1MDB yang berterusan, serangan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Najib, kegagalan Najib menjawab laporan Wall Street Journal tentang dakwaan wang RM2.6 bilion dimasukkan ke dalam akaun peribadinya, kejatuhan nilai ringgit yang teruk, serta insiden Plaza Low Yat, Kuala Lumpur yang hanya berpunca daripada kecurian telefon tetapi diapi-apikan menjadi rusuhan dengan hasutan perkauman.

Menurut beliau, kebimbangan yang sama telah dilahirkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara Sungai Buloh di mana mantan Ketua Pembangkang itu memberi amaran bahawa menukar Najib dengan orang lain tanpa reformasi yang sebenar tidak akan membawa perubahan yang bermakna, kecuali menguntungkan kroni-kroni yang baru.

“Memang Anwar betul. Berdasarkan pengalaman lalu, menukar Najib sahaja memang tidak cukup.

“Kita tidak mahu penyelesaian secara kecil-kecilan tetapi komitmen yang serius untuk mereformasikan negara dan membasmi korupsi,” tambah beliau. – Roketkini.com