Berita

Sekat laman Sarawak Report hanya burukkan lagi kredibiliti Najib

JOHOR BAHRU, 20 JULAI: Tindakan kerajaan menyekat akses laman web Sarawak Report yang mendedahkan tentang skandal 1MDB hanya akan memburukkan lagi kredibiliti Perdana Menteri.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) seolah-olah menyatakan bahawa Datuk Seri Najib Razak tidak lagi dilihat tidak bersalah atas pelbagai tuduhan ke atasnya, terutama kegagalannya menjawab dakwaan-dakwaan tersebut.

Menurutnya, Najib sepatutnya mengarahkan SKMM menarik balik sekatan itu kerana jika tidak berbuat demikian, beliau akan menjadikan skandal 1MDB yang masih dilihat sebagai masalah tempatan menjadi skandal antarabangsa.

Semalam, SKMM mengesahkan bahawa ia telah menyekat akses ke laman web Sarawak Report di www.sarawakreport.org atas alasan ia mengganggu “kestabilan negara”.

Menurut Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, tindakan SKMM itu sebenarnya memberi publisiti kepada Sarawak Report yang secara tidak langsung memperlihatkan betapa takutnya SKMM dan Najib terhadap laporan-laporan laman web tersebut.

Beliau juga berpendapat, tindakan kerajaan menyekat laman web itu tidak akan menyelesaikan masalah 1MDB yang Najib hadapi, sebaliknya menjatuhkan lagi tahap keyakinan terhadap dirinya yang tentunya tidak baik untuk Perdana Menteri dan negara.

Beliau menambah, Najib hanya perlu bercakap benar, termasuk menyatakan ya atau tidak, jika sejumlah wang RM2.6 bilion telah dimasukkan ke dalam akaun peribadinya, serta dari mana datangnya wang tersebut dan ke mana perginya wang itu, seperti yang dibangkitkan dalam laporan Wall Street Journal hampir tiga minggu lalu.

“Najib sepatutnya tahu bahawa bercakap benar adalah satu-satunya jawapan kepada segala masalah kerana tiada siapa dapat menyelamatkan beliau daripada tanggungjawabnya terhadap akauntabiliti awam dan ketelusannya sebagai Perdana Menteri,” ujar pemimpin veteran DAP tersebut.

Beliau menambah, Najib telah disalahnasihatkan oleh perunding-perunding perhubungan awamnya yang bergaji besar yang menganggap sekatan akses terhadap Sarawak Report akan dapat menyelesaikan masalah skandal 1MDB yang dihadapinya. – Roketkini.com