Rencana

Lanskap politik baru: Rakyat akan untung

Tajuk di atas ialah jawapan saya kepada soalan yang dijadikan sebagai tajuk kenyataan YB Dato’ Iskandar Samad, Pesuruhjaya PAS Selangor yang dikeluarkan pada 18 Julai 2015, iaitu kononnya lanskap politik baru akan hanya menguntungkan Barisan Nasional.

Lanskap politik baru ini tertimbul susulan tindak-tanduk dan gerak-geri sesetengah pemimpin pusat PAS yang membelakangkan Rangka Kerja Dasar Bersama Pakatan Rakyat atau Common Policy Framework yang merupakan tunjang kepada Manifesto Pakatan Rakyat Selangor, sehingga memenangkan Pakatan Rakyat di Selangor di mana PAS menjadi parti yang menerima manfaat paling besar dalam PRU yang lepas dengan tambahan kerusi DUN dari lapan (PRU12) kepada 15 (PRU13).

Maka adalah tidak susah untuk memahami situasi pada PRU14 nanti, di mana parti yang membelakangkan Rangka Kerja Dasar Bersama Pakatan Rakyat atau CPF akan menerima padah dan dihukum seberat-beratnya oleh penyokong dan pengundi yang telah memberi kepercayaan kepada Pakatan Rakyat pada PRU13 yang lalu.

Sudah tentu parti PAS akan dilihat sebagai parti yang menjadi punca kepada situasi ini dan kewujudan Gerakan Harapan Baru (GHB) mampu memperbaiki keadaannya, sekaligus mengelak UMNO, yang sudah nyawa-nyawa ikan, daripada kembali memegang tampuk kepimpinan kerajaan Selangor.

Walaupun GHB bermula mengembangkan sayapnya di kalangan ahli-ahli PAS, sambutannya yang semakin meriah di kalangan ahli-ahli PAS khususnya mereka di Selangor telah menunjukkan bahawa penubuhan GHB tidak berasaskan kepada perasaan dendam kekalahan sesetengah pemimpin dalam pemilihan PAS.

Barangkali mereka menginginkan sebuah jemaah yang lebih komited kepada perjuangan rakyat, pada masa PAS Selangor masih terumbang-ambing,  sama ada usul memutuskan tahaluf siyasi dengan DAP diterima pakai di Selangor atau tidak.

Dengan menampilkan dirinya sebagai wadah baru perjuangan, GHB mungkin mampu menarik lebih ramai Muslim yang selama ini keberatan menyertai PAS tetapi ingin menyertai platform GHB dalam memperjuangkan isu-isu yang menyentuh rakyat marhaen, baik akhirat dan duniawi.

Saya juga menyeru pemimpin-pemimpin tinggi yang lain dalam parti-parti pembangkang agar tidak bertolak-dalih lagi dan menyambut baik usaha-usaha rakan-rakan seperjuangan kita dalam GHB dengan memberi sokongan padu secara terbuka kepada mereka. – Roketkini.com

 

* Penulis adalah ADUN Kampung Tunku merangkap Setiausaha DAP Selangor