Budaya, Sastera

Tiga sajak A Samad Said: Renung Siasah

 

RENUNG SIASAH (1)

Melayu dalam Dieypi
dituduh hanya Pak Pacak;
belum pun dimulai diari
dakwat sudah pun merebak.

Jerit ampu dari saku,
rindu diri jadi insan;
bisik khidmat dari qalbu:
tak pula yang lain setan.

Cuma hati runcing runsing
bulan puasa ada samseng?

 

6 Julai 2015

 

 

RENUNG SIASAH (2)

Dewan Rakyat seeloknya
didakap haruman luhur;
pagi ini tengek baunya
sebab dihalang berjujur.

Atas lantai tepi Dewan
pembangkang tabah berlawan
disuluhnya sarang tipuan
dipetiknya kebenaran.

Maruah sebuah Dewan
tampak mula dirongakkan.

 

7 Julai 2015

 

 

RENUNG SIASAH (3)

Dewannya lusuh yang mega
hadirin rerata muda;
berbuka senikmat rasa
Kit dan aku antaranya.

Di atas pentas nan syahdu
Dyana, Rara bersyarah;
apa dilalu, dirindu
dibayangkan secanggihnya:

Mereka ingin memetik
Impian Bangsa yang molek.

 

11 Julai 2015