Berita

Batu Sumpah: Perjuangan orang asal Sabah belum selesai, kata Edwin Bosi

SOOK, 27 JULAI: Pengerusi Majlis Orang Asal DAP Sabah Dr Edwin Bosi mempersoalkan mengapa kerajaan BN seolah-olah mahu membenamkan sejarah Batu Sumpah dari pengetahuan generasi muda berhubung hak mereka sebagai orang asal Sabah.

Ini kerana, peristiwa pendirian Batu Sumpah pada 31 Ogos 1964 di Keningau yang merupakan salah satu faktor berjayanya pembentukan Malaysia tidak dimasukkan dalam matapelajaran sejarah di sekolah-sekolah.

Akibatnya, generasi muda di Malaysia khasnya di Sabah tidak mengetahui sejarah sebenar pembentukan Malaysia dan lebih membimbangkan ialah pencabulan hak pribumi orang asal yang semakin berleluasa seperti cara pengislaman yang tidak wajar, perampasan Tanah Adat (NCR) dan sebagainya.

Menurut Dr Edwin yang juga ADUN Kepayan, akibat dari itu, generasi muda orang asal tidak mengetahui hak yang sewajarnya mereka peroleh yang mana ia merupakan satu jaminan dari kerajaan Malaysia.

“Adakah mereka (kerajaan BN) ‘berminat’ dengan Batu Sumpah? Adakah mereka peduli mengenai apa yang dijamin dalam Batu Sumpah?

“Kita saja, DAP, berminat kepada Batu Sumpah ini kerana ia merupakan janji kepada orang asal Sabah,” ujar beliau ketika menyampaikan ucapannya dalam Sambutan Hari Orang Asal Zon Trus Madi dan Perasmian Replika Batu Sumpah ke-6, di Kampung Mangorimot Mansiat Daerah Sook di sini, Sabtu lalu.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Setiausaha DAP Sabah menegaskan bahawa orang asal di Sabah tidak minta yang ‘bukan-bukan’ dan mahu segala jaminan kerajaan itu dimartabatkan.

“Adakah aspirasi lebih 50 tahun kita di Sabah tercapai mengikut apa yang telah dijamin kerajaan Malaysia?

“Siapa lagi yang akan berjuang untuk mengembalikan hak-hak kita orang asal melainkan kita yang harus berjuang mendapatkannya,”katanya lagi disambut tepukan gemuruh hadirin.

Antara pimpinan DAP, NGO dan masyarakat setempat yang hadir pada majlis ini ialah Pengerusi DAP Sabah Jimmy Wong, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, ADUN Pasir Pinji Howard Lee, AJK Penganjur dari Pengerusi Jaringan Orang Asal Juhaili dan Adrian Lasimbang, Pengerusi Bersih Sabah Jenny Lasimbang dan tokoh masyarakat setempat Johnny Sipit. – Roketkini.com