Berita

Dedah laporan interim 1MDB: Cadangan Muhyiddin selari dengan tuntutan DAP

KUALA LUMPUR, 27 JULAI: Cadangan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya laporan awal siasatan 1MDB dijadikan dokumen awam membuktikan desakan DAP sebelum ini agar ia didedahkan kepada umum wajar memang patut mendapat sokongan.

Tuntutan DAP melalui Setiausaha Publisitinya, Tony Pua, telah mendapat sokongan tidak langsung daripada Muhyiddin yang dipetik media sebagai berkata beliau mahu laporan interim 1MDB dijadikan dokumen awam agar masyarakat tahu apa yang sebenarnya berlaku dalam kes berkenaan.

Menurut laporan media arus perdana, Muhyiddin dalam satu majlis UMNO Cheras di sini malam tadi menyatakan:

“Kalau nak jadikan ‘public document’ pun tiada halangan. Elok juga rakyat tahu apa kedudukan sebenar. Kita tak mau ia diputar belit.

“Sebagai pemimpin kita mesti memikul amanah. Kita diamanah urus negara dan tadbir segala harta kekayaan, rakyat mahu tahu bagaimana harta kita untuk mereka.”

Minggu lalu, Tony menyatakan bahawa dengan mendedahkan hasil siasatan awal Ketua Audit Negara terhadap 1MDB, rakyat akan dapat tahu apa yang sebenarnya berlaku terhadap dana milik kerajaan itu.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu yakin laporan Tan Sri Ambrin Buang dapat mendedahkan pelbagai isu berkaitan 1MDB yang belum diketahui umum, termasuk mengesahkan sama ada laporan-laporan yang disiarkan oleh laman web Sarawak Report adalah benar atau tidak.

Dengan itu, beliau menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya membenarkan laporan itu didedahkan kepada umum sekarang.

Bagaimanapun, Pengarah Komunikasi Strategi Barisan Nasional, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, menyanggah desakan Tony atas alasan Najib tidak boleh mendedahkan laporan audit 1MDB sehingga ia dibentangkan di Parlimen.

Membalas hujah Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan tersebut, Tony menjelaskan kenyataan Abdul Rahman adalah dangkal kerana beliau tidak memahami prosedur Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen.

Tony yang juga salah seorang Ahli Jawatankuasa PAC berkata, prosiding PAC memang tidak boleh didedahkan kepada umum sehingga laporannya dibentangkan di Parlimen, tetapi laporan Audit Negara seperti laporan interim tentang 1MDB boleh didedahkan kepada umum sekarang.

“Saya telah kaji dan lihat semula perintah tetap Parlimen, Akta Audit 1957 dan Perlembagaan Persekutuan tentang peranan dan tanggungjawab Ketua Audit Negara.

“Saya dapati tidak ada sama sekali perkara yang melarang ia daripada didedahkan kepada umum berhubung mana-mana penyiasatan, audit atau dapatan oleh Ketua Audit Negara,” tambah beliau.

Beliau juga mahu kerajaan mendedahkan kepada umum segala fakta tentang skandal 1MDB, termasuk laporan Wall Street Journal yang mendakwa wang RM2.6 bilion dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.

Sebaliknya, minggu lalu Tony dikejutkan dengan perintah Imigresen yang menghalang beliau daripada meninggalkan Malaysia untuk ke Indonesia bagi menghadiri satu majlis kesenian. Sehingga sekarang pihak berkuasa belum memberi sebab mengapa Tony dilarang keluar negara.

Dalam keadaan ini, suara Muhyiddin membayangkan kemelut kerajaan pimpinan Najib yang semakin dilanda masalah.

Di majlis yang sama, Timbalan Presiden UMNO itu juga mahu kerajaan dan parti BN serta UMNO menguruskan isu persepsi negatif di kalangan rakyat, termasuk yang ada di ruang media sosial.

Media arus perdana memetik Muhyiddin sebagai berkata:

“Dalam media sosial rakyat mengeluh soal GST, soal kerajaan katanya rasuah. Ia mungkin benar, maka perlu diteliti mengapa jadi begitu. Kita tidak mahu ada sindrom bisu, sindrom penafian. (Tapi) kita tolak semua, kita rasa semua tak betul kerana kita telah terlalu lama berkuasa.”

Jika Timbalan Perdana Menteri sendiri bimbang dengan keadaan Malaysia sekarang ini, mengapa kerajaan BN masih angkuh dengan kuasa melalui tindakan yang keras dan zalim seperti menggantung permit The Edge, menyekat pemimpin pembangkang keluar negara, menangkap “ikan bilis” dan masih membiarkan “jerung”, dan mempergunakan khidmat orang-orang bankrap untuk memfitnah?

Mungkin ada segelintir pemimpin BN dan konco-konco mereka yang merasakan mereka masih berada di era Perang Dingin, dan menganggap boleh berbuat apa sahaja demi mengekalkan kuasa.

Namun, seperti kata Muhyiddin, BN mungkin tidak berpeluang mengekalkan kuasa dalam pilihanraya umum akan datang jika rakyat tidak yakin lagi dengan kepimpinannya. – Roketkini.com