Rencana

Pendidikan nilai kemanusiaan lebih penting daripada paksaan

Selepas Sosialis Muda DAP (DAPSY) Perak menyatakan pendirian dengan tegas untuk membantah keputusan pengurusan pawagam Lotus Five Star Cinemas (LFS) di Seri Iskandar, Perak yang melarang pasangan yang tidak berkahwin daripada menggunakan kerusi berkembar atau “couple seat” atas nasihat Majlis Daerah Perak Tengah, dengan tidak semena-mena mereka telah dikecam dan dituduh bahawa menentang dan meremehkan hukum Islam.

Ada yang mengatakan bahawasanya tindakan DAPSY Perak tersebut adalah sengaja untuk meraih perhatian rakyat sehingga sanggup menggugat kestabilan dan keharmonian masyarakat.

Respon Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang merupakan Menteri Besar Perak mengatakan bahawa kepimpinan DAPSY Perak biadab kerana baginya ini adalah soal kaum dan agama. Manakala Khairul Azwan Harun selaku Naib Ketua Pemuda UMNO pula menyatakan perlu ada sikap hormat menghormati di antara satu sama lain dan hormat pendirian agama masing-masing.

Kami selaku anak muda yang berada dalam DAP ingin menegaskan bahawa sejak dari dahulu lagi sememangnya DAP sudah menghormati perbezaan kaum dan agama dan secara konsisten memperjuangkan hak asasi rakyat Malaysia tanpa memandang perbedaan latar belakang kaum dan agama.

Jika diteliti intipati respon yang diberikan oleh pihak UMNO ternyata mereka langsung tidak menjawab hujah yang dikemukakan oleh Setiausaha DAPSY Perak, saudara Howard Lee. Sebaliknya melencong jauh dengan melemparkan persepsi, kecaman dan tuduhan yang bersifat perkauman.

Seperti yang dinyatakan oleh Howard, Akta Kerajaan Tempatan 1976 sama sekali tidak memberi sebarang kuasa kepada mana mana kerajaan tempatan untuk mengawal dan menguatkuasakan moral dan akhlak. Maka, Majlis Daerah Perak Tengah tidak berhak mengeluarkan arahan mahupun nasihat sebegitu.

Kami berpendirian bahawa moral dan akhlak adalah hal bersifat peribadi dan bukanlah tanggungjawab kerajaan atau pihak berkuasa untuk mewujudkan undang-undang bagi mengawal perkara ini. Kerajaan sebagai satu badan yang mempunyai kuasa memaksa dan menghukum tidak mungkin mampu menguruskan semua tuntutan moraliti yang bersifat peribadi, melainkan mereka mahu menjadi kerajaan yang kuku besi dan mengawal semua perkara.

Oleh itu tindakan ini meskipun baik bagi sesetengah orang, sebenarnya telah pun menceroboh ruang dan hak individu rakyat yang sewajarnya dipelihara selagi mana tidak mendatangkan keburukan atau kecederaan.

Contoh mudahnya, sebagaimana kerajaan tidak berhak memaksa seorang wanita membuka tudungnya atas dasar kepercayaan berbeza, kerajaan juga tidak berhak memaksa seorang wanita memakai tudung atas dasar kepercayaan.

Lebih jelas lagi sebenarnya tindakan Majlis Daerah Perak Tengah telah melangkaui batas yang dibenarkan atau skop bidang tugasnya seperti yang diperuntukkan dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Juga tidak wajar apabila mengatakan semua pasangan yang hadir ke pawagam adalah untuk melakukan maksiat. Ini adalah satu tuduhan yang melulu dan pemikiran yang simplistik.

Kita sewajarnya bertindak di atas kesalahan. Sekiranya terdapat pasangan, meskipun suami dan isteri, melakukan perbuatan yang tidak senonoh di ruang awam sehingga mengganggu ketenteraman awam, maka mereka wajar dikenakan tindakan mengikut undang-undang sedia ada. Tetapi sekiranya mereka tidak melakukan perbuatan tersebut maka tidak boleh mengenakan undang-undang untuk menyekat kebebasan mereka daripada menonton wayang bersama.

Arahan untuk menunjukkan sijil nikah apabila ingin membeli tiket “couple seat” tidak akan menyelesaikan masalah maksiat. Ia bukan sahaja menyusahkan pengurusan pawagam, malah ia bakal melibatkan penonton bukan-Islam kerana perlu menunjukkan bukti.

Sebaliknya Idea dan cadangan yang diberikan oleh saudara Howard sangat bernas apabila menjadikan pendidikan sebagai kaedah untuk membentuk dan memperbaiki sahsiah masyarakat.

Pendidikan adalah satu kaedah yang paling berkesan dalam menerapkan nilai-nilai kemanusiaan secara rasional kepada manusia. Ianya juga dilakukan tanpa pemaksaan tetapi akan lahir daripada inisiatif secara sukarela seseorang individu. Bermakna nilai kemanusiaan itu adalah nilai yang jujur diamalkan dan bukan sesuatu perkara yang retorik berpunca daripada ketakutan. – Roketkini.com

 

* Suara Sosialis Muda (DAPSY) Subang diwakili oleh:

– Edry Faizal, Ketua DAPSY Subang

– Young Syefura, Naib Ketua DAPSY Subang

– John Wong Yu Ling, Setiausaha DAPSY Subang

– Numan Saadan, Setiausaha Publisiti DAPSY Subang

Tarmizi Anuwar, Bendahari DAPSY Subang