Berita

Walaupun Adenan Satem popular, tak semestinya BN popular di Sarawak

KUCHING, 29 JULAI: Walaupun Tan Sri Adenan Satem dikatakan popular di kalangan rakyat Sarawak, ia tidak mencerminkan populariti Barisan Nasional di negeri itu.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, menjelaskan bahawa rakyat negeri sedar bahawa Adenan sendiri tidak akan bertanding di kesemua 71 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihanraya negeri akan datang.

Katanya, rakyat akan menilai prestasi kerajaan negeri serta calon-calon BN, dan bukannya populariti seorang Ketua Menteri sahaja.

“Malah, kita tahu bahawa Adenan juga akan terseret dengan masalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang ditekan oleh skandal 1MDB. Apa sahaja dasar yang Najib laksanakan, ia akan menjejaskan rakyat Sarawak juga,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini semalam.

Chieng Jen yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching mengingatkan pengundi Sarawak bahawa prestasi 74% yang diperolehi Adenan melalui soal selidik Merdeka Centre pada April lalu hanya membayangkan kata-kata retorik politiknya sahaja.

Katanya, Adenan masih gagal menunaikan janji-janji kepada rakyat, termasuk tuntutan royalti minyak dan gas 20% untuk Sarawak, membasmi korupsi khususnya dalam industri balak, dan memastikan anak negeri diutamakan dalam pemberian projek Lebuhraya Pan Borneo.

Beliau menjelaskan bahawa royalti 20% adalah hak Sarawak kerana hasil minyak dan gas adalah milik Sarawak, dan kerajaan persekutuan perlu menerima hakikat tersebut.

Dalam isu pembasmian korupsi, katanya, setakat ini belum kedengaran berita tentang tindakan terhadap pengarah atau syarikat yang terlibat dalam industri pembalakan.

“Setahu saya, tiada siapa yang dikenakan tindakan. Mengapa begitu? Adakah kerajaan tidak mampu bertindak, atau tidak mampu mendapatkan bukti?” soal beliau.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Sentosa itu, projek Lebuhraya Pan Borneo pula sepatutnya mengutamakan kontraktor Sarawak tetapi sebaliknya ia telah dikuasai oleh syarikat berkaitan UMNO, iaitu Lebuh Raya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU).

Chieng Jen mengakui secara peribadi beliau menerima Adenan tetapi tidak yakin Ketua Menteri dapat mengubah Sarawak.

Beliau turut mengingatkan rakyat bahawa populariti Adenan tidak menjamin undi untuk BN, terutamanya apabila kerajaan negeri masih gagal memenuhi aspirasi dan keperluan rakyat Sarawak. – Roketkini.com