Berita

Najib sudah berjaya diamkan Mahathir, adakah 3 juta ahli UMNO juga ditutup mulut?

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Dengan tindakan yang keras dan jelik berhubung skandal 1MDB, Datuk Seri Najib Razak telah berjaya menakutkan Tun Dr Mahathir Mohamad daripada terus bersuara lantang, setakat ini.

Namun, masih ramai rakyat Malaysia yang enggan tunduk kepada taktik kejam Perdana Menteri, dan tetap menuntut agar segala butir tentang skandal 1MDB didedahkan kepada umum.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata. rakyat prihatin tetap menentang tindakan-tindakan Najib yang zalim itu termasuk:

  •       Melumpuhkan pasukan petugas khas siasatan 1MDB, dengan memburu para penyiasat termasuk menangkap pegawai-pegawai penting pasukan tersebut, menuduh konspirasi antarabangsa mahu menggulingkan Perdana Menteri dan kerajaan, dan memecat Peguam Negara Tan Sri Gani Patail; dan
  •       Melumpuhkan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) Parlimen yang sepatutnya menyambung siasatan skandal 1MDB mulai hari ini, dengan membawa masuk pengerusi dan tiga ahli jawatankuasa itu ke dalam Kabinet serta di sekeliling kabinet tersebut, dan menangguhkan prosiding PAC.

“Seperti kata bekas menteri kabinet serta menteri besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid, kabinet Najib sekarang adalah kabinet 1MDB,” katanya dalam satu kenyataan.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah menyimpulkan sikap “pak turut” dalam kabinet Najib seperti dalam gambaran puisi Tennyson pada 1854 yang bertajuk “The Charge of the Light Brigade”:

“Theirs not to make reply, Theirs  not to reason why, Theirs but to do and die, Into the Valley of Death” – “Bukan tugas mereka untuk mencari jawapan, bukan tugas mereka untuk mencari sebab, tugas mereka hanya untuk buat apa yang disuruh dan bersedia untuk mati, menyerbu ke Lembah Maut”

(Nota: Sajak itu adalah tentang serbuan tentera berkuda tentera British terhadap kubu kuat Turki dalam pertempuran Balaclava sewaktu Perang Crimea 1854 yang menjadi legenda kematian sia-sia, dan kezaliman panglima tentera angkuh yang hanya mahu pangkat dan penghormatan)

Katanya, sudah pun ada menteri-menteri yang baru dilantik yang mengangkat diri sebagai pengawal peribadi Najib yang mahu mempertahankan pemimpin agung mereka tanpa mempedulikan cara tindakan mereka.

Persoalannya sekarang, apakah ada pemimpin dan anggota UMNO, serta rakyat Malaysia, yang akan bangun menuntut hak untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku dengan skandal 1MDB, soal beliau.

“Atau adakah Najib sudah berjaya menutup mulut lebih 3 juta anggota UMNO, dengan menanam semangat “Charge of the Light Brigade” di dalam jiwa mereka,” tambah beliau. – Roketkini.com