Budaya

Aku ingin jadi The Clash

Ini bukan cerita tentang aku walaupun sewaktu era remaja dulu, itu merupakan angan-angan ku. Sebenarnya ini adalah kisah mengenai sebuah band yang tak pernah aku dengar walaupun sudah lama bertapak di bumi Malaysia ini. Nama band itu adalah The Garrison.

Nama band ini tiba-tiba menjadi sesuatu yang kerap aku dengar sejak dua, tiga bulan lalu. Itu pun hanya dengar nama saja, belum apa-apa tentang lagu atau persembahannya. Ia dari seorang rakan sekerja yang jauh lebih muda daripada aku. Entah dia hipster, entah dia mat rempit, entah dia apa-apa. Yang penting, dia yang lebih tahu tentang The Garrison.

Maka pada suatu malam yang agak panas dan lembap pada 8 Ogos lalu, aku bertandang ke Rumah Api di Jalan Ampang di pinggiran ibu kota untuk menyaksikan The Garrison. Memang ia bukan bintang utamanya saat itu kerana ia adalah malam untuk The Bollocks yang melancarkan keluaran semula split 7” mereka.  Tapi niat aku malam itu ialah melihat sendiri sebuah band yang kerap diuar-uarkan sahabat muda aku itu.

Namun, aku agak kecewa kerana persembahan The Garrison seperti tidak kena. Lama sangat tune sana-sini. Tapi mungkin aku yang bangang kerana tak tahu main muzik. Tapi tak kanlah band punk perlu tune lama-lama sangat. Kadang-kadang tune atau tidak, sama saja bunyinya.

Atau mungkin anggotanya kurang mood malam itu, tak begitu menjadi persembahannya. Walau apa pun, dub reggaenya amat menjadi, mengingatkan aku kepada The Clash – bukan saja pada era Sandinista!, malah sejak album pertamanya lagi. Tapi pada malam itu, lagu-lagu pop/rock The Garrison gagal menusuk kalbu ku. Jadi pulanglah aku dengan hati yang sedikit gundah malam itu. Malah, persembahan The Bollocks yang membingit menutup tirai malam itu juga gagal mengubati hati ku. Mungkin aku agak lali dengan hardcore 3-chord.

Esok masih ada

Esoknya berlaku sesuatu yang tak ku jangka. Pada malam gig tersebut, aku turut membeli sekeping cakera padat The Garrison yang bertajuk Subversion keluaran tahun 2011. Sudah lama rupanya. Jadi apabila aku memasang mendengarnya keesokan hari, aku agak terkejut. Kini aku faham mengapa rakan muda ku yang bukan seorang peminat keseragaman genre menyukai band ini.

Rupa-rupanya dub reggae yang aku dengar malam tadi memang amat kuat pengaruh The Clash. Malah, setelah dua kali putaran CD itu, jelas The Garrison adalah waris The Clash di bumi Malaysia. Menariknya, sang vokalis tidak meniru gaya Joe Strummer atau Mick Jones, sebaliknya suaranya seperti pemain bass Paul Simonon yang lebih berbakat dalam penyampaian nyanyiannya.

Dalam kategori pop/rock, lagu-lagu Dangers of Reality, The River of Rich Kids and Top Dogs, Subversion Rock, dan Parade to Freetown, boleh saja tertampil dalam album pertama The Clash (yang menggunakan nama band sebagai tajuk) atau setidak-tidaknya album kedua Give ‘Em Enough Rope.

Lagu dub reggae seperti  Pagan’s Second Coming, Acheh, Now, Subversion Times, dan Socialites, dengan mudah dapat diselitkan dalam album-album The Clash bagi era London Calling dan Sandinista!, malah ada sedikit unsur dari album Combat Rock, terutama dari segi liriknya.

Ini tidak pula bermakna The Garrison hanya sekadar mahu jadi The Clash. Mereka punya identiti tersendiri. Malah, satu keberanian band ini adalah mengambil The Clash sebagai sumber pengaruh, iaitu tatkala muzik era akhir 1970-an dan awal 1980-an kini dianggap amat ketinggalan zaman, sudah tidak hip lagi.

Lagu-lagu Media Protest, Naysayers, Evil Never Lies, Here Comes The Police adalah antara keaslian rentak mereka dalam genre yang sama.

Dengan menikmati CD itu pada hari esoknya itu, dan hari-hari selepas itu, pantas saja aku memaafkan diri ku yang agak kecewa dengan persembahan Ahad malam itu. Mungkin sound system pada malam itu tidak kena dengan apa yang The Garrison mahukan. Mungkin. Apa pun hati ku kembali tenang kerana sudah mendengar apa yang sepatutnya aku dengar melalui album mereka.

Politikal, keras dan kiri

Melalui lipatan kulit kertas CD tersebut aku meneliti lirik The Garrison yang semuanya ciptaan ElPheng, sang vokalis dan gitarisnya (kecuali lagu Acheh, Now). Ya memang politikal, keras dan kiri, dan banyak juga ciri-ciri liberal sosialnya.

Lirik-liriknya juga bukan jenis 1-2-3 lets mosh; perlu sedikit berfikir sambil berpogo, perlu sedikit mengasah otak yang semakin ditumpulkan dengan konsumerisme. Ya, mereka marah dengan keadaan sekeliling, seperti kebanyakan band punk; tetapi mereka ada keindahan tersendiri.

Antaranya lirik lagu-lagu mereka:

“I don’t wanna your radio hits/I don’t need your indie pop shit/We wanna have music that breeds ideas/To stand up for the poor/Against the snowballing fears/To put resistance to your oppressive boss” – Subversion Rock

“Engage yourself to the TV screen/Filthy politics of a doctrine/”economy is gold”/Read the front page/It’s a missing question/It’s innacurate/This is a media protest/You’re gonna get smashed” – Media Protest

“Neanderthal man/In the Government/Neanderthal man/In the parliament/In the cave try to tell off people/The so-called visionary plan…/The flawed nation rocked with fury/They want answers, and a subsidy/All the bananas and the fishes they paid/Lobster dollars were being astrayed/Now their leaders come out, talking again/At a wedding of his nearest gang/When the sun rises for another generation/It’s Neanderthal times again” – Neanderthal Man

Inilah yang membezakan The Garrison dengan kebanyakan band lain. Memang semua ada keunikan tersendiri. Tapi bagi aku, seorang survivalist dari sebuah era suatu ketika dulu, album ini menghimbau kenangan remaja mendengar buat kali pertama The Clash melalui album Give ‘Em Enough Ropebila mana aku mengulang-ulang korus “Rudy come from Jamaica, Rudy can’t fail” dalam lagu Safe European Home dan terkinja-kinja dengan lagu Tommy Gun dan Guns on the Roof, sama ada dalam kelas di sekolah atau dalam bilik mandi di rumah.

Memang sesekali angan-angan ku masih ingin jadi The Clash. Tapi biarlah The Garrison yang merealisasikan mimpi itu. Semoga mereka terus berkarya. – Roketkini.com