Rencana

Kerana takut menjadi bangsat

Saya sedang berbual-bual tentang situasi semasa 1MDB dan kengerian yang perlu ditanggung anak cucu jika hutang itu tidak terlangsai seperti sepatutnya apabila telefon genggam berbunyi. Di skrin telefon terpapar nombor berkod “05” menunjukkan ia adalah panggilan dari Perak.

Saya tidak menunggu lama untuk menjawabnya dan segera pula diberitahu bahawa si pemanggil adalah petugas Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang memberitahu itu dan ini, begitu dan begini. Diringkaskan cerita, dia meminta saya membayar balik lebihan wang yang dikeluarkan lembaga itu untuk taksiran cukai saya pada tahun sebelum ini.

Sebagai warganegara yang baik dan jujur, tentulah saya mengalu-alukan tindakan LHDN itu. Selagi boleh, kita perlu membayar apa saja tuntutan agensi kerajaan demi memastikan pembangunan negara berterusan mengikut impian pemimpin negara.

Sebagai bangsa yang takut menjadi ‘bangsat’ oleh kerana kemiskinan kerajaan UMNO, saya berpendapat LHDN adalah salah satu agensi kerajaan yang ditugaskan untuk mengelak ‘kebangsatan’ itu berlaku.

Ketika pegawai LDHN itu menyoal saya seolah-olah saya ini pembohong, saya tetap juga bersabar dan bergembira. Maklumlah, sebagai pekerja sederhana dan dikelilingi hutang di sekeliling pinggang – dan leher – memang kegemaran saya untuk selalu berbohong.

Kerana takut menjadi bangsat, saya yang membesarkan anak kurang upaya – dan mempunyai kad pengesahan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat – memang ada kemungkinan juga saya menuntut rebat cukai pendapatan saya.

Saya mengaku tersilap membuat tuntutan rebat cukai itu kerana sepatutnya saya tidak melakukannya. Biarlah anak saya kurang upaya seteruk mana pun, kerajaan wajib, mesti dan tidak boleh tidak, perlu dibantu dengan memberikan cukai sebanyak mungkin.

Malah saya yakin, semakin banyak saya membayar cukai semakin terhindar saya daripada ditimpa kebangsatan.Lagi pun, apalah sangat dengan bayaran rawatan yang beratus-ratus ringgit dan kelengkapan sokongan untuk membantu anak saya itu yang mesti ditanggung setiap sebulan atau dua bulan sekali.

Pegawai LHDN itu kemudian memberitahu peralatan bantuan untuk ibu saya yang terlantar akibat strok – seperti katil boleh laras – sebenarnya tidak layak untuk mendapat rebat cukai. Saya menyambut keterangan pegawai itu dengan amat gembira sekali. Tambahan pula panggilan itu dibuat hanya beberapa minggu selepas ibu saya menghembus nafas terakhirnya selepas terlantar sama sekali kira-kira lapan bulan.

Apabila saya cuba mencadangkan bahawa kaedah pengiraan cukai pendapatan itu mungkin menyukarkan sesetengah orang, pegawai tersebut dengan mesra dan sopan memberitahu supaya saya berhubung dengan ahli parlimen saya. Kata beliau, mereka adalah petugas yang hanya mengikut sistem yang diluluskan oleh parlimen.

Jawapan itu tentu sangat mengharukan sekali gus membanggakan saya. Ternyata pegawai berkenaan mempunyai pemikiran yang sangat jelas dan teguh bahawa banyak masalah dalam dunia ini sebenarnya boleh diatasi dengan bercakap kepada ahli parlimen.

Dan memanglah kerja saya setiap hari mencari ahli parlimen saya atau orang lain untuk mengadu masalah kami. Bungkusan susu anak yang semakin mahal dalam keadaan kandungan susu semakin sedikit, misalnya, atau harga lampin pakai buang yang terlalu murah sejak adanya GST.

Minggu lalu saya sedang memandu dari rumah ke pejabat sambil mendengar berita radio mengenai laporan terkini mengenai anak panda China yang baru lahir di Zoo Negara. Tiba-tiba telefon berbunyi lagi. Apabila dijawab, pemanggil segera memperkenalkan diri dan memberitahu saya, potongan rebat yang saya isytihar dalam borang taksiran 2012 hingga 2014 ditarik balik.

Maka saya perlu membayar semula kepada LHDN sebanyak lebih RM4,000.

Wah, alangkah gembiranya saya!

Tergerak juga di hati untuk bertanya kepada pegawai LHDN itu: “Eh, RM4,000 saja encik? Mengapa bukan RM14,000?” – Roketkini.com