Rencana

Sokong perhimpunan Bersih bukan perhimpunan kotor

Satu perhimpunan bakal diadakan pada 16 September dikatakan sebagai tindak balas kepada perhimpunan Bersih 4. Perhimpunan anti-Bersih itu diberi nama Himpunan Rakyat Bersatu sebagai samaran kepada nama asalnya yang cuba mengapi-apikan sentimen kaum, Himpunan Maruah Melayu.

Tanpa menafikan hak berhimpun warga Malaysia yang dijamin perlembagaan, perlu bagi rakyat Malaysia perhalusi tujuan setiap perhimpunan itu agar tidak jatuh dalam jerat tuntutan yang tidak munasabah. Apakah semata-mata kerana ramai yang hadir sewaktu Bersih 4 terdiri daripada masyarakat bukan Melayu maka perlu diadakan perhimpunan khas untuk orang Melayu? Kalau begitu rata-rata yang hadir pada Bersih 4 adalah orang muda, apakah perlu diadakan pula Himpunan Maruah Orang Tua?

Tidak jelas untuk menggunakan nama yang mana (Himpunan Rakyat Bersatu atau Himpunan Maruah Melayu) itu sendiri menunjukkan perhimpunan ini tidak mempunyai matlamat yang jelas. Ya ada di kalangan rakyat Malaysia itu Melayu tetapi bukan semua rakyat Malaysia itu Melayu.

Sehingga kini, tuntutan kepada perhimpunan itu sendiri tidak diperjelaskan. Seruan untuk berhimpun tertumpu kepada “anti-Bersih” dan “maruah orang Melayu”.

Penganjur sendiri tidak diketahui siapa dan apakah tuntutan mereka secara rasmi juga tidak digariskan. Menggunakan dua petunjuk di atas mungkin kita semua boleh membuat anggapan apakah tuntutan sebenar mereka. Mereka mahu orang Melayu bersatu melawan tuntutan Bersih 4.

Perhimpunan Bersih 4 secara rasmi, baik melalui kenyataan media atau tertera di kemeja T perhimpunan, menuntut:

1. Pilihanraya bersih
2. Kerajaan bersih
3. Hak membantah
4. Perkukuh demokrasi berparlimen
5. Selamatkan ekonomi Malaysia

Sekiranya perhimpunan kumpulan baju merah itu merupakan penentangan kepada Bersih 4 maka tuntutan mereka tentu sekali berlawanan dengannya. Anggapan kita tuntutan mereka tentulah:

1. Pilihanraya kotor
2. Kerajaan kotor
3. Hak tunduk ikut perintah
4. Lemahkan demokrasi berparlimen
5. Hancurkan ekonomi Malaysia

Keinginan kumpulan baju merah ini kelihatannya sangat membahayakan. Lebih berbahaya, mereka menyeru orang Melayu untuk bersatu mengangkat tuntutan anti-Bersih ini. Seolah-olah menganggap orang Melayu itu sukakan perkara-perkara yang merosakkan negara.

Bagaimanakah maruah orang Melayu boleh terbela dengan kemahuan penuh kekotoran sedemikian? Maruah orang Melayu, orang Cina, orang India, orang Iban, orang Kadazan dan semua anak Malaysia hanya boleh dibela melalaui tuntutan Bersih 4 dan bukannya kumpulan anti-Bersih yang mahu berhimpun 16 September ini.

Orang Melayu dan semua anak Malaysia berhak mendapatkan pilihanraya yang bersih. Melaluinya diharap terbentuk kerajaan yang bersih kerana pemerintah tahu mereka boleh diturunkan melalui pilihanraya atau bantahan rakyat sekiranya cuba bertindak korup.

Melalui demokrasi berparlimen yang kukuh kepentingan orang semua anak Malaysia akan mendapat lebih tempat. Melalui sistem politik yang bersih maka harapan untuk menyelamatkan ekonomi negara juga semakin cerah dan manfaatnya meliputi setiap anak Malaysia.

Orang Melayu bermaruah tentu bijak menilai sama ada perhimpunan yang mahu diadakan pada 16 September itu demi kebaikan mereka, atau semata-mata mempergunakan nama mereka, demi mencapai matlamat yang samar dan penuh kekotoran.

Saya orang Melayu dan saya menolak perhimpunan itu. Orang Melayu memang perlu bersatu, bersama dengan semua anak Malaysia, menuntut sebuah negara yang lebih baik dan bukan sebaliknya.

*Penulis merupakan Ketua Pemuda DAP Subang