Rencana

Pasca Bersih 4.0: “Jadi apa korang sudah capai?”

500,000 orang telah berhimpun di ibu kota pada minggu Merdeka yang lalu. Sesiapa yang pernah menyertai perhimpunan awam di Malaysia akan mendapati bahawa terdapat perbezaan pada himpunan Bersih 4.0 tersebut. Suasananya seperti pesta dengan peserta menyanyi, berpuisi, dan membuat persembahan seni. Saya turut tertarik ke dalam ragam karnival tersebut sehinggakan apabila saya diminta untuk berucap, saya menyanyi, suatu perkara yang amat jarang sekali berlaku. Lagu yang dinyanyikan itu lagu perjuangan orang lama, “Darah Rakyat”.

Himpunan kali ini dilabel sebagai program kaum Cina kerana kehadiran orang Cina yang amat memberangsangkan. Tapi, tempoh hari saya terdengar satu jenaka tentang Bersih 4.0 dan orang Cina. Katanya, Cina sudah jadi liberal, sedangkan dalam bulan “hantu” mereka tetap berani keluar ke jalanan dan lagi dahsyat, bermalam di jalanan. Pantang orang Cina terhadap angka “4” yang bunyinya semacam “mati” juga diketepikan. Cina sudah jadi liberal, sudah murtad kecinaannya.

Satu lagi perkara yang terang lagi nyata tentang Bersih 4.0 ini sudah tentulah kehadiran orang Melayu yang kurang berbanding perhimpunan terdahulu. Pandangan saya tentang perkara ini ialah, sebenarnya ramai orang Melayu yang mendukung tuntutan Bersih merupakan ahli dan penyokong PAS. PAS sebuah parti politik, ada disiplin tersendiri. Disiplin ini termasuklah akur dengan mobilisasi pemimpin mereka. Justeru, walaupun majoriti besar orang Melayu ini menyokong penuh tuntutan Bersih 4.0, namun tanpa digerakkan oleh kepimpinan, maka mobilisasi Melayu lebih rendah.

Namun tidak dapat dinafikan orang Melayu turut beramai-ramai keluar berarak, berhimpun, bermalam di Kuala Lumpur semasa Bersih 4.0, sampai solat pun di atas jalan raya.

Adakah Bersih 4.0 membawa apa-apa perubahan?

Selepas Bersih 4.0 ada yang bertanya, “Jadi apa korang sudah capai?

“Adakah apa-apa yang telah berubah?”

Yang sinis pula bertanya, “Berhimpun sudah, apakah Najib pun sudah meletak jawatan?”

Yang optimis menjawab, “Perjuangan kita untuk jangka masa lama, perubahan bukan sehari dua”.

SUFI6137Saya pula berpendapat memang ada sesuatu yang telah berubah. Apabila 500,000 orang rakyat Malaysia berarak, berhimpun dan tidur di jalanan di Kuala Lumpur dan puluhan ribu lagi berkumpul di lokasi-lokasi lain di seluruh Malaysia dan di seluruh dunia, ada suatu perubahan telah berlaku serta merta. Dan bagi mereka yang terlibat secara tidak langsung, yakni mereka yang mempunyai ahli keluarga ataupun kenalan yang menyertai Bersih 4.0, ataupun mereka yang mengambil tahu dan mengikuti perkembangan Bersih 4.0 tersebut, ataupun mereka yang membantu menyebarkan maklumat, yang “Share” dan “Like” dalam Facebook, yang membeli T-shirt kuning, yang memuatnaik foto bertema kuning di laman media sosial, yang memakai baju ataupun apa-apa yang berwarna kuning pada hari minggu tersebut, buat mereka juga, ada suatu perubahan telah berlaku serta merta.

Apa perubahan tersebut?

Dari dulu lagi, kita sudah tahu bahawa “negara sedang menghadapi krisis”. Tahu itu tahu dari membaca ataupun berbincang, tahu buku teks kata orang, “tahu dari jauh”. Tapi selepas melalui Bersih 4.0, tahu itu sudah menjadi “tahu dari pengalaman sendiri”. Macam belajar secara teori dan belajar secara pengalaman kerja, dua-dua pengetahuan yang penting, tetapi tak sama. Selepas bermandi keringat di Bersih 4.0, sudah tentu pengalaman itu memberi nafas dan pengertian baru kepada idea “negara sedang menghadapi krisis”. Pada masa yang sama, pengalaman baru itu juga memberi dorongan yang lebih kuat kepada mereka untuk mencari jalan penyelesaian bagi menyelamatkan negara.

Apakah tidak, apabila seseorang itu sanggup bersusah payah membeli T-shirt, mengembara ke Kuala Lumpur, mengambil risiko berhimpun walaupun diancam penguasa, berarak dan berkumpul di bawah panas terik ibu kota, bertilam-bantalkan tar yang kasar dan keras pada malam hari, menyeberangi halangan psikologi pemikiran “selamat” yang konservatif seperti “jaga kestabilan masyarakat”, jangan provokasi, peristiwa 13 Mei dan termasuk sekali pantang larang tentang “bulan hantu”; jika seseorang itu sanggup bersusah payah sebegitu, maka tidak hairan komitmennya terhadap matlamat selamatkan Malaysia pun berganda.

Di atas jalanan pada hari itu, walau yang paling sinis sekalipun, semua yang terlibat dapat merasai harapan yang menggunung. Di atas jalanan pada hari itu, rakyat Malaysia berkeyakinan bahawa “ya, kita mampu untuk mengubah nasib negara”.

Apa yang perlu dilakukan sekarang?

Tiga tahun lalu, saya telah menulis dalam buku saya,

“Pada masa di mana ada terlalu banyak suara menawarkan pelbagai pilihan, Ironinya perkara paling pragmatik dan juga paling revolusionari yang boleh dilakukan adalah jangan buat apa-apa, diam dan berfikir sejenak. Analisa keadaan secara kritis dahulu sebelum mengambil tindakan seterusnya, supaya tak timbul keadaan “pi mai pi mai tang tu”, iaitu buat bermacam-macam tetapi hasilnya tetap sama sahaja.”

Apabila semua orang tengah sibuk nak melakukan sesuatu, ambil selangkah ke belakang dan renungi masalah di depan kita secara kritis sebelum kita masuk semula sibuk beraktiviti.

Jadi apa sebenar permasalahannya di sini?

Masalah yang kita hadapi sekarang, yang menyebabkan krisis negara ini bukannya ketamakan individu semata-mata. Ia juga bukan tentang Najib semata-mata. Kalau ia tentang seorang individu bernama Najib yang tamak haloba, maka mudah ditangani, tukar saja orangnya. Tapi kita semua sedia maklum, Najib tukar Zahid Hamidi kah, tukar Muhyiddin Yasin kah, tukar Mukhriz Mahathir kah, tukar Khairy Jamaluddin kah, tukar siapa-siapa sekalipun, tetap sama. Justeru tidak memadai sekadar suruh Najib letak jawatan.

Masalah sebenarnya adalah sistem.

Sistem di mana semua benda boleh dijual beli atau dalam bahasa seharian kita, budaya “boleh settle”. Dalam sistem ini, semua orang berpotensi menjadi Najib. Sebab sistem ini membenarkan siapa sahaja yang buat salah untuk “membeli jalan keluar”. Asalkan ada kuasa atau wang atau lebih baik, kedua-duanya sekali.

SUFI6330Dalam sistem ini, kita boleh jual beli apa sahaja, daripada pendidikan terbaik sehingga kepada keputusan peperiksaan yang cemerlang, sampai boleh jualbeli soalan bocor UPSR. Kita boleh jualbeli layanan keutamaan di lapangan terbang dan di hospital sekalipun. Kita boleh membayar wang lebih untuk servis VIP di hotel, begitu juga untuk “layanan istimewa” di jabatan kerajaan. Kita boleh jualbeli perlindungan undang-undang malah bila kita buat salah boleh dibeli perlindungan daripada dikenakan tindakan undang-undang. Kita bukan sahaja boleh jualbeli perkhidmatan orang lain, malah boleh jualbeli organ-organ orang lain, dan yang paling dashyat sampai jualbeli orang lain pun boleh, kalau ada wang dan kuasa. Kita boleh jualbeli sokongan walaupun tiada yang sudi menyokong – itulah sebabnya parti yang dapat sokongan hanya 48% itu boleh tubuh kerajaan.

Semuanya boleh dijual beli dan kita sebahagian dari sistem ini.

Minggu lalu, ada seorang wanita telah menghubungi saya untuk minta pertolongan. Dia telah mencuri barangan bayi bernilai kira-kira RM200 di sebuah pusat membeli belah dalam kawasan saya. Dia merayu minta saya tolong “settle” di luar mahkamah. Saya menasihatinya untuk mendapatkan khidmat guaman, itu sekadar yang boleh saya bantu buat masa ini. Dia kecewa dan berkata, “Kerana RM200 hidup saya musnah, namun sesetengah orang terlepas walaupun sudah ambil RM2.6 billion”.

Kita semua berpotensi menjadi Najib.

Perkara ini bukan soal ketamakan peribadi, sebaliknya, ia adalah akibat satu sistem yang tidak menjamin akauntibiliti dan ketelusan. Sistem yang mana kalau buat salah sekalipun, “jalan keluar” boleh dibeli. Wanita tadi tidak mampu untuk membeli jalan keluar bagi dirinya, tapi di bawah sistem ini, ramai yang mampu dan telah melakukannya. Jika yang buat salah terlepas begitu sahaja, maka di manakah keadilan? Di manakah amar ma’ruf nahi munkar? Di manakah soal hak dan tanggungjawab? Sebab semua perkara boleh “settle”, boleh dijual beli, asalkan ada wang dan kuasa.

Yang paling menyedihkan ialah, dalam sistem tersebut, semua benda, waima demokrasi sekalipun, menjadi mahal. Bukankah Barisan Nasional sendiri telah mengaku bahawa perlu RM2.6 billion semata-mata untuk mengalahkan satu parti lawan iaitu DAP semasa pilihan raya yang lalu. Demokrasi sudah menjadi terlalu mahal untuk marhaen dan murba. Orang biasa sudah tidak mampu memiliki demokrasi, terutamanya mereka yang benar-benar memerlukan demokrasi untuk menyuarakan kepedihan hidup.

Jangan celoteh banyak, berikan satu strategi yang praktikal

Ada juga yang akan berkata kepada saya, “Tak payahlah cerita panjang lebar, bagi tau terus apa benda yang boleh kita semua lakukan selepas Bersih 4.0, benda yang betul-betul praktikal”.

Baiklah…

Sementara kita menanti sistem ini diubah oleh “orang-orang politik besar” – entah bila – satu nasihat saya kepada semua penyokong Bersih 4.0 pasca himpunan kita ialah ini: Ayuh kita semua berpura-pura bahawa apa yang kita inginkan benar-benar wujud.

Maksud saya ialah, kita anggap seolah-olah demokrasi itu wujud, tadbir urus baik itu wujud, hak asasi manusia wujud, keadilan juga wujud. Walau dalam keadaan sekarang, memang susah nak anggap semua perkara ini wujud di Malaysia, marilah kita berpura-pura ia ada.

Contohnya, tentang keadilan, hiduplah seolah-olah ada keadilan, anda mungkin akan dilihat sebagai naif dan ditertawakan, tetapi tuntutlah keadilan, kejar keadilan dan berlaku adil kepada sesiapa sahaja. Sudah tentu tabiat ini tidak masuk akal dalam sistem yang saya sebut tadi. Sudah tentu lebih mudah untuk kita beli jalan keluar daripada susah payah menuntut keadilan. Tapi biar kita anggap dunia ini semacam ada keadilan dan bertekad untuk mencarinya.

Dan tuntutlah tadbir urus baik daripada kerajaan di semua peringkat: kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan. Kita kena buat semacam tadbir urus baik ini perkara biasa bukan perkara luar biasa. Justeru kita mesti mengharapkan perkhidmatan yang baik daripada kerajaan, kalau tidak memperolehnya, kita kena tuntut “kao kao”, tuntut sampai dapat, seolah-olah perkara ini patut berlaku. Kita perlu buat-buat bodoh macam budak kecil yang tidak segan silu minta dan minta dan terus meminta supaya tadbir urus baik ini dilaksanakan.

Bagi demokrasi pula, kita turun berkempen dan mengundi seolah-olah usaha kita mampu mengubah keadaan. Memang lebih mudah untuk kita putus asa dan anggap bahawa kita tidak mampu mengubah sistem ini. Memang lebih mudah untuk kita sinikal dan tolak sebarang usaha sebagai sia-sia. Tapi untuk sekarang, biar kita naif, kita tuntut demokrasi seolah-olah benda ini wujud, seolah-olah pilihan raya itu adil bersih dan telus.

SUFI5706Bayangkan, jika cukup ramai orang yang berpura-pura demokrasi itu wujud dan berkesan, jika cukup ramai orang yang menuntut demokrasi, turun berkempen dan turun mengundi seolah-olah tiada penipuan dalam pilihan raya, jika cukup ramai orang yang rela dicemuh sebagai naif dan mereka masih percaya serta yakin bahawa undi mereka itu penting – maka nescaya kita akan nampak, harapan tinggi menggunung di jalanan Bersih 4.0 hari itu, semangat “ya, kita mampu untuk mengubah nasib negara” yang diperlihatkan oleh peserta-peserta perhimpunan akan diulang-ulang kali ini bukan hanya di Kuala Lumpur tetapi di seluruh pelosok Malaysia.

Sahabatku, bukankah itu suatu revolusi?

Apa yang ingin saya sampaikan dalam panjang lebar ini sebenarnya ialah: Kipidap, dongibap.

*Penulis ialah Ahli Parlimen Bukit Mertajam.