Budaya

The Metaphor: Bertemu post-rock Malaysia di Taiwan

Aku bertandang ke Taiwan sebelum hujung minggu lalu, mahu bersama pesta Rock in Taichung: With You selama tiga hari bermula 4 September, dengan bermacam band dan penyanyi pelbagai genre. Dan hampir semuanya bakat dari Taiwan serta tetamu jemputan dari Jepun, Korea Selatan, Hong Kong, dan Malaysia.

Ya, band dari Malaysia pun ada, diwakili The Metaphor. Aku akui tak pernah mendengar mereka, apatah lagi melihat sendiri. Sekilas pandang di laman facebook mereka, ada sesuatu yang menarik. Genre mereka digelar post-rock.

tm3Menurut Wikipedia: Post-rock is a subgenre of rock music characterized by the influence and use of instruments commonly associated with rock, but using rhythms and “guitars as facilitators of timbre and textures” not traditionally found in rock. Post-rock bands are often without vocals.”

Walaupun aku kabur dengan apa itu post-rock, seorang sahabat muda ku Aedi yang pernah bersama dalam satu gig, ku lihat memeluk tubuh sambil berdiri tanpa goyangan pinggul atau gerak kaki, dan dengan wajah yang serius sewaktu menonton satu persembahan – bagi ku, mungkin itu caranya menikmati apa yang dikatakan sebagai post-rock.

Dan aku kadang-kadang ketawakan post-rock. Seolah-olah tiada nama lain seperti genre post-punk yang sebenarnya boleh merupakan apa saja dari generasi yang sama yang menyuarakan sesuatu selain daripada petikan tiga chord dan marah-marah.

Malah, aku rasa era progressive rock 1970-an dulu pun sangat melebih-lebih instrumentalnya, macam berlagak tunjuk kemahiran. Mungkin kerana itu ia menjadi bosan, dan melahirkan anak tiri bangsatnya yang bernama punk.

Namun, ada satu kelainan dengan The Metaphor pada pesta muzik yang berlangsung di Wenxin Forest Park di bandaraya bahagian tengah Taiwan itu.

Pada jam 4 petang 6 September di tengah terik bahang mentari Taichung yang menyucuk belakang badan dan hampir mencetuskan migrain, aku bersama rakan peminat rock Alice, berdiri di depan pentas utama untuk melihat sendiri siapa dan apa itu The Metaphor dari Malaysia.

Malah, aku cuba berdiri sambil memeluk tubuh dengan berwajah serius untuk menikmati persembahan lima anak muda Malaysia ini beraksi di depan penonton yang belum begitu ramai, kerana masih terlalu awal; lagipun mereka merupakan band pertama pada hari terakhir pesta muzik tersebut.

Tapi sukar untuk aku berdiri tegak seperti menghormati lagu kebangsaan kerana lagu-lagu The Metaphor yang kesemuanya instrumental tersusun dengan petikan gitar yang perlahan dan kemudian dibingitkan pada pertengahannya; mungkin itu seperti korus agaknya, yang memaksa kepala tergoyang secara automatik. Tumit juga terhentak-hentak. Apa lagi bila dilihat dua gitaris dan seorang pemain bass terpusing-pusing, melayan persembahan sendiri.

Benar, mereka bukan pemuzik tiga chord; mereka berkemahiran, dan lebih penting, mereka melayan kecekapan, dengan bunyian feedback dan distortion. Memanglah aku pun tak faham sangat benda-benda itu tapi apabila muzik menusuk hati, kena pada minda, itulah timbul minat.

Persembahan mereka tidak sampai 40 minit. Walaupun aku tak pasti lagu-lagu mereka – hampir semuanya sama bagi telinga yang tidak cukup kreatif ini – memang kesemuanya dari album pertama mereka tanpa tajuk (self-titled) yang dikeluarkan tahun lalu.

tm4Memang aku tak dapat bezakan antara lagu When We Were Once Lost dengan Those Vague Symptoms, atau Unity In Separation, atau Faith Got Us Here; namun aku dapat layani semuanya dengan hati terbuka dan minda yang tenang di kala bahang sang suria menikam tubuh.

Dengan tajuk-tajuk sedemikian lagu-lagu mereka ada makna tersendiri, mungkin bersifat kerohanian atau ketuhanan, atau sekadar luahan perasaan. Tanpa nyanyian, tanpa lirik, terpulang pada tafsiran masing-masing.

Agaknya jika aku yang kurang kreatif ini berkata, elok kalau ada beberapa lagu dinyanyikan, dan bukan sekadar instrumental saja; agaknya The Metaphor akan menepuk dahi dan menjawab: Alahai, you missed the point. Biarlah begitu, agaknya.

Kebanyakan lagu adalah hasil tulisan Tomas Tam selaku gitaris, dan beberapa yang lain hasil usahasama dengan Ling Lee, pemain keyboard dan piano, yang turut menghasilkan lagu Memories Of An Uncharted Mind. Selain Tomas dan Ling Lee, band ini turut dianggotai Sze Yee (gitar), Kelvin Hew (bass), dan Izzy Musa (dram).

Walaupun pesta muzik itu penuh dengan pelbagai band dan genre, aku akui – bukan kerana bias – The Metaphor adalah antara persembahan terbaik sepanjang tiga hari itu kerana menampilkan kelainan daripada yang biasa dan agak terlalu banyak seperti pop-punk, death/black metal serta genre popular semasa.

Jika berkesempatan mungkin aku mahu sekali lagi menonton persembahan The Metaphor di watan sendiri. Mungkin lebih baik, atau mungkin lain dari yang lain pula. Siapa tahu. Muzik bukan untuk disimpan seperti harta karun. Ia harus dikongsi bersama, seperti Malaysia yang sepatutnya menjadi milik kita bersama. – Roketkini.com

Layari:

https://www.facebook.com/themetaphor?fref=ts